GEORGE TOWN: Polis berjaya menumpaskan aktiviti memproses dadah dan merampas kira-kira 7,400 gram (g) bahan terlarang jenis heroin itu yang bernilai RM61,420 dalam tiga serbuan bermula Khamis hingga Jumaat lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, bertindak hasil risikan, polis menangkap seorang lelaki berusia 40 tahun yang bergiat aktif sejak awal tahun ini dalam aktiviti memproses dadah di sekitar kawasan Seberang Jaya.
“Serbuan pertama itu dilakukan di hadapan sebuah premis perniagaan di Seberang Jaya. Sebuah kereta jenis Perodua Alza turut dirampas bersama alat kawalan jauh kenderaan tersebut.
“Susulan tangkapan tersebut, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah teres juga di kawasan Seberang Jaya dan membawa kepada rampasan peralatan serta bahan-bahan untuk memproses dadah jenis heroin,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Khaw berkata, siasatan seterusnya membawa kepada serbuan ketiga di kawasan parkir kereta di Perai dan menemukan dadah dianggarkan seberat 7,400g di dalam sebuah kenderaan.
Katanya, polis turut merampas wang tunai bercampur-campur serta kenderaan jenis Honda Accord 2.4 dipercayai digunakan lelaki itu untuk kegiatan pengedaran dadah, yang kesemuanya bernilai RM25,050.
“Suspek kini direman tujuh hari bermula 26 Mei bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan pada Sabtu lepas di Seberang Perai Utara, Khaw berkata polis berjaya menangkap dua lelaki berumur 29 dan 30 tahun, dipercayai terlibat dalam kes curi batang kabel milik Telekom Malaysia di sekitar kawasan Kepala Batas.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas sebuah pacuan empat roda dinaiki kedua-dua lelaki itu yang ditahan pada 4 pagi semalam, menemukan 52 batang kabel Telekom yang telah dipotong di bahagian belakang kenderaan tersebut.
“Kedua-dua lelaki itu ditahan dan kes ini masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA