KUALA LUMPUR: Sekalipun pakar perubatan semakin cekap dalam mendiagnosis autisme, ramai antara kita yang masih belum memahami akan keadaan perubatan itu.
Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimanakah keadaan yang dilalui oleh individu autistik dalam menjalani kehidupan sehariannya.
Bersempena dengan Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2023 yang diadakan pada 2 April lalu, beberapa pertubuhan – TikTok Malaysia, Persatuan Kebangsaan Austisme Malaysia (NASOM), syarikat hiburan berasaskan realiti maya (VR) PICO dan platform berita sosial dalam talian SAYS – bergabung melancarkan #KasihiAutism, sebuah kempen bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang autisme.
Menerusi kempen itu, ahli masyarakat berpeluang mengalami sendiri “dunia” mereka yang hidup bersama autisme menerusi video VR 360 darjah selama kira-kira 30 saat.
Penganjur kempen percaya klip video itu adalah kaedah terbaik bagi memupuk empati dan belas kasihan terhadap komuniti autistik kerana menerusi video tersebut ahli masyarakat dapat mengalami apa yang dilihat, didengar dan dirasai oleh individu austistik.
Autisme, juga dikenali sebagai gangguan spektrum autisme (ASD), merupakan keadaan perkembangan yang secara tipikalnya terjadi akibat gangguan saraf yang menjejaskan fungsi otak.
Keadaan perubatan ini menyebabkan kemerosotan kemahiran berkomunikasi, bersosial, bermain dan pemfungsian penyesuaian seseorang, sekali gus menyukarkan individu itu berhubung dengan dunia luar.
VR DALAM KEMPEN KESEDARAN
VR merupakan persekitaran buatan yang dialami hasil rangsangan deria seperti pemandangan dan bunyi yang disalurkan secara serentak oleh komputer, membuatkan pengguna berasakan mereka seolah-olah “tenggelam” dalam persekitaran mereka.
Teknologi VR ini boleh dialami oleh pengguna menerusi pemakaian set kepala yang dilengkapi monitor visual, fon kepala dan pembesar suara.
Semasa pelancaran kempen #KasihiAutism di kedai utama PICO di Sunway Pyramid dekat sini baru-baru ini, pengunjung termasuk penulis, berpeluang mengalami keadaan itu.
Selepas menyelaraskan set kepala VR yang seakan topi keledar dalam siri filem “Star Wars” di kepala dan menekan butang “main”, penulis yang memegang satu set pengawal mendapati dirinya berada dalam persekitaran VR yang dipenuhi orang ramai, alatan elektronik, lampu dan meja. Cahaya menjadi kabur dan menyakitkan mata, menjejaskan daya penglihatan penulis, malah menyebabkan penulis berasa panik sedikit. Bunyi juga kedengaran kuat dan datang dari semua arah.
Pengalaman itu membuatkan penulis berasa sesak nafas dan cemas, malah ingin menangis.
Pengurus Strategi Operasi TikTok Malaysia, Darren Quek berkata, mereka menghasilkan video itu selepas membuat penyelidikan terperinci tentang bagaimana VR boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan pemahaman orang ramai tentang autisme.
Beliau berkata mereka juga melihat contoh di negara-negara lain yang menggunakan VR untuk meningkatkan kesedaran tentang autisme.
“Semua ini dijadikan panduan bagi idea sebenar kami, iaitu untuk membolehkan orang ramai melalui pengalaman seorang individu autistik, dan memahami cabaran serta kesukaran yang dihadapi golongan ini setiap hari,” katanya kepada Bernama.
Tahun lepas, sebuah majlis daerah di Staffordshire, England, melancarkan kempen “Celebrating Differences” (Meraikan perbezaan) dengan VR digunakan bagi membolehkan orang awam mengalami cabaran deria dan gejala yang didepani oleh kebanyakan individu autistik dalam kehidupan mereka.
TINGKATKAN PEMAHAMAN TENTANG AUTISME
Keh Wei Sheng, seorang pempengaruh TikTok dengan nama Stantheman705, turut menonton video VR itu dan pengalaman tersebut membuatkan beliau berasa sedih dan tertekan.
“Saya rasa bingung dan tidak mampu bergerak seakan saya bergerak perlahan dalam persekitaran yang bergerak pantas. Saya juga berasa lemas dan sesak nafas, tidak mampu mengungkapkan emosi saya,” kongsinya, menambah pengalaman itu membuka matanya tentang kehidupan individu autisitik.
“Kita perlu lebih bertimbang rasa dan berempati,” tambah beliau.
Mengulas tentang video VR itu, Setiausaha Kehormat NASOM, Cason Ong berkata, rangsangan VR merupakan cara yang hebat untuk meraih lebih banyak sokongan daripada masyarakat terhadap komuniti autistik.
“Dengan cara ini, kita (benar-benar) alami apa yang mereka lalui. Kita berada dalam situasi mereka, jadi kita boleh tahu bagaimana mereka berfikir dan bertindak terhadap sesuatu,” tambah beliau.
Sementara itu, Quek menambah kempen seperti #KasihiAutism akan membantu mengubah tanggapan orang ramai terhadap autisme.
“Kami ingin mendidik orang ramai tentang ASD supaya mereka (individu autistik) boleh diterima dengan lebih baik oleh masyarakat dan tidak dihakimi secara negatif, berbanding melihat autisme sebagai masalah mental dan mempunyai tanggapan yang salah terhadap mereka, atau tidak menjaga mereka dengan betul kerana kurang memahami tingkah laku mereka,” katanya.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dianggarkan seorang daripada 100 kanak-kanak di dunia mengalami autisme. Malaysia tidak mempunyai data khusus tentang autisme, namun menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat, setakat 31 Januari 2023, terdapat 235,731 individu yang mempunyai ketidakupayaan pembelajaran yang merangkumi autisme, sindrom Down dan gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD).
Kementerian Kesihatan juga dipetik berkata pada Mac tahun ini yang ia telah menyediakan satu kertas kerja bagi pertimbangan jemaah menteri tentang penubuhan Majlis Autisme Kebangsaan yang akan berperanan sebagai platform bagi penyediaan perkhidmatan untuk mereka yang mempunyai ASD. – BERNAMA