PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tahun ini tampil dengan penganjuran program baharu iaitu rancangan realiti televisyen dikenali TV Inovasi (Innovathon).
Program bersiri 10 episod itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Ekonomi dan akan ditayangkan menerusi saluran Astro mulai Jun ini.
Menteri MOSTI, Chang Lih Kang berkata, program realiti Innovathon itu adalah platform terbaik untuk rakyat Malaysia dalam menjana dan mengembangkan idea inovatif yang boleh dikomersialkan.
“Program 10 episod ini dilaksanakan dengan kerjasama stesen televisyen Astro dan akan ditayangkan bermula pada Jun 2023.
“Para pemenang berpeluang memenangi modal asas permulaan sebanyak RM1 juta untuk merealisasikan idea inovasi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis perjumpaan menteri dengan Pemain Industri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Warga MOSTI di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), di sini, hari ini.
Program Innovathon adalah sebuah program realiti televisyen yang memfokuskan kepada produk berbentuk digital dan juga teknologi, melalui format hackathon.
Mengulas lanjut, Chang Lih Kang berharap penganjuran program Innovathon itu dapat melahirkan lebih ramai individu yang berinovasi dalam memajukan negara.
“Diharapkan usaha melalui Innovathon ini akan membina keyakinan lebih ramai bakat dalam masyarakat untuk membina kerjaya dan inovasi dalam bidang ekonomi digital,” ujarnya.
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)