CYBERJAYA: Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp menganjurkan National Training Week (NTW) 2023 yang akan berlangsung dari 22 Mei hingga 28 Mei 2023.
NTW 2023 merupakan platform yang menyediakan lebih 5,000 jenis latihan, termasuk kemahiran teknikal dan juga kemahiran soft skills seperti kepimpinan, pengurusan masa dan kemahiran komunikasi.
Menariknya, NTW 2023 akan menawarkan program latihan secara percuma kepada rakyat Malaysia selama satu minggu yang menghimpunkan organisasi dan individu daripada pelbagai latar belakang dan industri seperti agensi kerajaan lain, pemain industri, individu, persatuan industri, ahli akademik, penyedia latihan dan banyak lagi.
Para peserta akan diberikan sijil penyertaan sebagai pengiktirafan untuk kemajuan mereka dalam memperoleh pengetahuan dan kemahiran baru.
Bagi industri media yang ingin menguatkan kemahiran, NTW 2023 turut menyediakan beberapa program melibatkan kewartawanan, penerbitan komunikasi dan media yang merangkumi tips penulisan berimpak, komunikasi berkesan, video editing Capcut serta banyak lagi program di bawahnya.
Peserta NTW 2023 berpeluang meneroka pelbagai topik latihan, sesuai untuk individu dari semua peringkat umur, termasuk kanak-kanak prasekolah dan warga emas.
Program ini tidak terhad kepada individu tetapi juga memenuhi keperluan majikan, persatuan industri dan bidang perniagaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai kursus dan sesi latihan yang ditawarkan oleh NTW 2023, individu yang berminat boleh melayari laman web rasmi di https://www.nationaltrainingweek.gov.my/
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)