IPOH: Organisasi media perlu mengubah kaedah penyampaian berita untuk kekal relevan dengan menggunakan media sosial sebagai platform dan juga sumber berita, kata ahli panel pada Forum Media HAWANA 2023 hari ini.
Semasa sesi bertajuk “Kelangsungan Media Tradisional dalam Era Digital”, ahli panel membincangkan bagaimana media sosial telah mengambil alih mod tradisional penyebaran berita, sering mendedahkan isu yang mungkin tidak dilaporkan. Mereka bersetuju media sosial mengubah cara orang ramai menggunakan berita, justeru, organisasi media perlu menerima pakai platform berkenaan.
Pertama sekali, ia memerlukan perubahan minda.
“Saya rasa kemampuan bilik berita untuk berubah, untuk pergi ke peringkat seterusnya dalam mencipta … kandungan adalah sangat, sangat kritikal,” kata Nicholas Sagau, Ketua Pegawai Operasi REV Media Group.
Beliau berkata, ketangkasan perlu menjadi aspek paling penting dalam perubahan minda, untuk melakukan pelbagai tugas dan menyesuaikan diri dengan lebih baik terhadap perubahan dalam teknologi.
Ahli-ahli panel berkatay, organisasi berita juga kekal sebagai pencipta kandungan penting, namun cabarannya ialah untuk menarik orang ramai menggunakan kandungan yang disiarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Mindshare Group, Sheila Shanmugam berkata, langkah seterusnya ialah “mengikuti tontonan”.
Beliau berkata, kini kebanyakan orang mendapatkan berita dan kandungan dalam media sosial melalui telefon mudah alih, berbanding membaca atau menonton berita. Katanya, konsep satu berita sesuai untuk semua tidak lagi boleh dilakukan dengan pelbagai platform, sama ada media tradisional atau menerusi media sosial.
“Ia berkenaan memahami platform itu, memahami khalayak dalam platform dan bagaimana sebenarnya anda mencipta kandungan. Cerita sama yang ditetapkan dengan cara berbeza, untuk berhubung dengan penonton,” katanya.
Sheila berkata walaupun keluaran media tradisional ketinggalan daripada hantaran media sosial, memenuhi khalayak khusus dalam media sosial akan dapat mengatasi isu itu.
Bagaimanapun, ahli panel turut memberi amaran terhadap manipulasi media sosial, yang digunakan untuk membentuk pendapat sosial atau mencapai objektif tertentu.
Mengakui media sosial sebagai pemacu utama berita kini, Ketua Pengarang The Jakarta Post, M Taufiqurrahman berkata, adalah penting untuk menyedari bahawa mengabaikan media tradisional mempunyai kesan negatif.
“Terdapat kecenderungan untuk ahli politik juga mengabaikan media tradisional. Mereka mempunyai tentera yang menggunakan media sosial untuk mendekati pengundi dan pemilih, dan mereka boleh memacu agenda tertentu tanpa perlu berurusan dengan media tradisional,” katanya.
Sheila turut bersetuju dengan berkata: “Semua orang kini merupakan pencipta kandungan, semua orang mahu menjadi popular”.
Beliau turut menyeru pembetukan garis panduan untuk meletakkan peraturan kepada situasi dalam media sosial untuk mengekang ucapan kebencian dan penghinaan perkauman, sambil mengurangkan sekatan terhadap topik yang ingin dilaporkan.
Forum media itu yang dianjurkan bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, dihadiri peserta terdiri daripada wartawan, koresponden dan ahli akademik dari Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia, China, Jepun dan Kuwait.
HAWANA disambut pada 29 Mei setiap tahun bagi meraikan wartawan dan pengamal media di Malaysia dengan penganjuran pertama diadakan di ibu negara pada 2018. – BERNAMA