ISTANBUL: Paris Saint-Germain menggantung Lionel Messi selama dua minggu tanpa bayaran kerana melawat Arab Saudi tanpa kebenaran.
Bintang Argentina itu tidak boleh bermain atau berlatih dan tidak dibayar sepanjang tempoh pergantungan, lapor Agensi Anadolu memetik akhbar L’Equipe.
Berikutan itu, Messi akan terlepas perlawanan Ligue 1 menentang Troyes pada 7 Mei dan aksi bertemu Ajaccio pada 13 Mei.
Pemain berusia 35 tahun itu menjaringkan 20 gol dan membantu 19 gol dalam 37 perlawanan musim ini.
Messi membimbing Argentina merangkul kejuaraan Piala Dunia Qatar 2022 apabila menewaskan juara 2018 Perancis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti. – BERNAMA-ANADOLU