GEORGE TOWN: Seorang pegawai dan enam anggota polis antara 12 individu ditahan dalam siri serbuan di sekitar Pulau Pinang pada Ahad dan semalam, kerana disyaki terlibat kegiatan judi ekor haram.
Selain pegawai dan anggota polis berkenaan, lima orang awam turut ditahan dalam operasi selama dua hari oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan pihak polis.
Kesemua pegawai dan anggota polis berusia 27 hingga 48 tahun itu ditahan di sekitar Air Itam dan bertugas di balai polis yang sama.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin mengesahkan penahanan pegawai dan anggota terlibat namun enggan mengulas lanjut kes berkenaan kerana ia masih dalam siasatan.
“Saya boleh mengesahkan bahawa ada tangkapan judi ekor haram dibuat membabitkan seramai tujuh anggota polis dan lima orang awam, namun saya tidak dapat ulas lanjut kerana masih dalam siasatan polis Bukit Aman,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hasil penahanan kesemua suspek, polis merampas sebuah komputer riba, satu telefon pintar, wang tunai RM10,959 dan peralatan perjudian. – BERNAMA