HomeTeknologiPengguna Maybank kini boleh bayar guna kod QR di Indonesia, Singapura dan...

Pengguna Maybank kini boleh bayar guna kod QR di Indonesia, Singapura dan Thailand

CYBERJAYA: Pengguna bank Malayan Banking Bhd (Maybank) kini boleh menggunakan transaksi QR DuitNow menerusi aplikasi perbankan mudah alih ‘MAE’ di Singapura, Indonesia dan Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong berkata, perkhidmatan pembayaran QR rentas sempadan adalah ciri penting yang akan memudahkan pelancong Malaysia ke luar negara melalui aplikasi MAE, serta pelancong yang datang ke Malaysia untuk melakukan pembayaran tanpa tunai melalui mata wang negara masing-masing.

Menurutnya, kemudahan itu berfungsi sebagai kunci untuk meningkatkan kecekapan sambil mempromosikan ekonomi digital dan ketrangkuman kewangan di rantau ASEAN.

“Ini adalah tepat pada masanya di mana kami melihat peningkatan ketara dalam permintaan teknologi dalam kalangan orang ramai ketika mereka mencari penyelesaian perbankan yang menawarkan kelajuan yang tiada tandingan dan tahap kemudahan baharu sambil memastikan keselamatan transaksi mereka, terutamanya selepas wabak.

“Hubung kait pembayaran QR antara Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand melengkapkan rangkaian saling kebergantungan pembayaran dua hala yang semakin meningkat yang akan menyumbang ke arah ASEAN lebih dinamik dan pembangunan selanjutnya di rantau ini,” katanya.

Tambah beliau, kemudahan itu membolehkan pengguna membuat pembayaran QR secara terus kepada peniaga yang mana kadar tukaran mata wang akan dipaparkan secara automatik.

Malah, peniaga yang memiliki Maybank QRPay juga boleh menerima pembayaran daripada pelancong Indonesia, Singapura dan Thailand yang menggunakan aplikasi pembayaran yang menyokong pembayaran ini.

Maklumnya lagi, fungsi pembayaran QR rentas sempadan tersebut dijayakan menerusi kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan PayNet.

Had transaksi harian adalah sehingga RM1,00 atau bersamaan dengan RM1,000 dalam mata wang asing.

Bagaimanapun, pengguna masih boleh menukar had ini menerusi tetapan aplikasi. Perlu diingatkan, pengguna juga perlu membuat pengesahan untuk mana-mana pembayaran yang melebihi RM250.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Maybank Cross-border DuitNow QR.

Author

Pilihan Editor