GEORGE TOWN: Polis menahan dua lelaki dan lapan wanita berumur lingkungan 20 hingga 30-an yang disyaki terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian, dalam beberapa serbuan di premis perniagaan sekitar sini, Khamis lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan digunakan untuk menjalankan kegiatan itu seperti 16 telefon bimbit, 10 unit monitor, 10 unit CPU dan dua unit internet router, dalam serbuan pada pukul 3.30 petang itu, yang dilancarkan hasil risikan.
Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua mereka ditawarkan lebih RM2,000 untuk menjadi ‘online promoter‘ bagi menjalankan kegiatan perjudian dalam talian, namun mereka didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini bergiat aktif secara dalam talian selama 10 bulan yang lepas dan mereka dibayar untuk melakukan aktiviti haram itu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Khaw berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1),(a),(b),(c),(g) Akta Rumah Judi terbuka 1953 yang mana jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun dengan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.
Katanya kesemua mereka telah dirakam percakapan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. – BERNAMA