IPOH: Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita dan merampas 55 ketulan mampat dipercayai ganja seberat 48.446 kilogram (kg) bernilai RM153,260 di Kampung Paya dekat Kamunting, Taiping, pada Rabu lepas.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penahanan ketiga-tiga suspek berusia antara 35 dan 39 tahun itu dibuat pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam beberapa siri serbuan pada 8.15 hingga 11.25 malam.
“Serbuan dibuat berdasarkan maklumat pengedaran dadah dan kita berjaya menemukan bungkusan mampat yang disyaki mengandungi dadah jenis ganja selepas soal siasat dilakukan.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak juga menyita tiga kenderaan dan seutas rantai leher dianggarkan bernilai RM67,670,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata, siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga suspek aktif menjalankan kegiatan terbabit sejak Jun 2022 dan berdasarkan berat dadah yang dirampas tersebut boleh digunakan oleh 15,700 penagih.
“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek adalah negatif dan mereka tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan. – BERNAMA