CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai sebuah premis makanan yang dipercayai menggunakan taktik kotor kepada pelanggan atau pempengaruh yang mengkritik makanannya.
KKM dalam kenyataan ringkasnya di Twitter berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap peniaga terbabit sekiranya dakwaan itu benar.
Bagaimanapun, beberapa jam selepas KKM mengeluarkan kenyataan tersebut, pemilik premis makanan tampil mengeluarkan kenyataan balas dengan menjelaskan bahawa dakwaan meletakkan ‘special ingredients’ dalam hidangan pelanggannya adalah prank semata-mata.
“Ini semua hanyalah strategi marketing yang mana saya tahu akan ‘boomm’ (viral). Jangan risau lah, makanan kami semuanya selamat untuk dimakan. Ini semua hanyalah prank,” tulisnya menerusi Facebook rasmi kedai makanan itu.
Baru-baru ini, tular di media sosial berkenaan sebuah premis makanan yang memberikan ‘special ingredients’ dalam makanan yang dihidangkan kepada pelanggan ‘special’.
Difahamkan, ‘special ingredient’ yang dimaksudkan pemilik premis makanan terbabit adalah dengan meletakkan bahan kotor seperti kahak, air liur, tahi hidung serta bahan kotor lain ke dalam makanan tersebut.
Menurutnya, dia berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan review jujur daripada pempengaruh yang datang ke premisnya.
Justeru, orang ramai menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada pemilik premis makanan terbabit.
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)