KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi di sini telah dilapangkan berikutan representasi yang telah difailkan olehnya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan pertuduhan itu.
Hakim K. Muniandy melapangkan perbicaraan hari pertama itu selepas peguam Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent memaklumkan kepada mahkamah pihak pembelaan telah memfailkan surat representasi pada 3 Mei kepada AGC.
“Dalam surat itu, kami telah membangkitkan fakta-fakta tertentu daripada perbicaraan Rosmah sebelum ini yang melibatkan projek solar, yang beliau telah disabitkan kesalahan. Oleh itu, pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan hari ini,” kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya menerima surat berkenaan pada tarikh tersebut.
Beliau berkata pihak pendakwaan memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan untuk memutuskan perkara tersebut kerana pihak pembelaan telah membangkitkan isu undang-undang yang serius dalam representasi itu.
“Saya masih belum menetapkan temu janji dengan Peguam Negara (AG) dan pihak atasan untuk memberi taklimat kepada mereka mengenai kandungan representasi itu.
“Pihak pembelaan telah membangkitkan beberapa fakta dan isu baharu… Saya perlu melakukan penyelidikan dan menyediakan penulisan baharu untuk memberi taklimat kepada pihak atasan saya dengan betul.
“Disebabkan isu yang rumit dalam surat itu, saya memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan untuk menyelesaikan semuanya,” katanya sambil menambah bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai bantahan untuk melapangkan perbicaraan.
Hakim Muniandy menetapkan 24 Ogos untuk perbicaraan seterusnya dan melapangkan tarikh sebelumnya pada 28 dan 30 Jun; 6, 7, 28 dan 31 Julai serta 1, 2 dan 11 Ogos.
“Jika representasi diterima, sila maklumkan kepada mahkamah,” katanya.
Rosmah, 71, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di Kuala Lumpur dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.
Pada 1 Sept 2022, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Rayuan menetapkan empat hari dari 11 hingga 14 Julai untuk mendengar rayuan Rosmah. – BERNAMA