KUALA LUMPUR: Memasuki minggu kedua Syawal, sambutan Aidilfitri terus dirayakan dengan tradisi kunjung-mengunjung saudara mara dan taulan yang tidak melepaskan peluang mengadakan rumah terbuka.
Lebih-lebih lagi, tahun ini adalah kali kedua Aidifitri dirayakan dalam suasana selepas penularan pandemik COVID-19 memuncak, dengan hampir keseluruhan sekatan mencegah jangkitan ditarik balik.
Namun, di sebalik keseronokan meraikan hari raya, bertemu dan berkumpul beramai-ramai, masyarakat kata pakar kesihatan, perlu ingat ancaman virus maut itu masih wujud dengan varian terbaharu – XBB.1.16 atau Arcturus – telah dikesan di negara ini.
Walaupun tidak menyebabkan gejala yang teruk atau seganas Delta yang mencetuskan gelombang kes besar-besaran di negara sebelum ini, subvarian daripada keluarga Omicron ini menular dengan cepat, iaitu 1.2 kali ganda lebih pantas berbanding varian asal.
Menurut pakar, seperti varian dan subvarian terdahulu, Arcturus membawa risiko tinggi terhadap warga emas serta golongan rentan khususnya, dan rumah terbuka berpotensi mencetuskan penularan baharu.
JANGAN ALPA
Mengulas tentang hal itu, pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, berdasarkan laporan di negara lain, subvarian terbaharu ini tidak mencetuskan jangkitan yang teruk ke atas individu biasa, namun bagi warga emas dan golongan rentan, tahap jangkitan yang dialami mereka tetap sama seperti varian asal COVID-19.
“Tidak kiralah varian apa sekalipun, kita tidak boleh ambil ringan khususnya dalam kalangan golongan rentan kerana imuniti mereka rendah dan boleh menyebabkan mereka berdepan komplikasi penyakit lain yang lebih teruk jika dijangkiti (subvarian COVID-19 terbaharu ini).
“Jika golongan ini tidak berhati-hati, dan pada masa sama tidak lengkap dos penggalak vaksin COVID-19, jangkitan akan merisikokan mereka mengalami ‘long COVID’, selain boleh menyebabkan kematian sekalipun setakat ini belum ada kematian akibat Arcturus dilaporkan,” katanya kepada Bernama.
Setakat ini, Arcturus dilaporkan dikesan di lebih 30 negara sejak dikenal pasti pada Januari lepas.
Menurut Dr Zainal Ariffin, selain demam panas luar biasa dan batuk, iaitu gejala biasa COVID-19 yang diakibatkan oleh varian terdahulu, Arcturus turut dikesan mencetuskan simptom baharu seperti konjunktivitis atau jangkitan mata, menyebabkan mata pesakit mengalami kemerahan, kegatalan dan bengkak.
Walaupun konjunktivitis pernah dilaporkan sebagai antara simptom COVID-19 sebelum ini, gejala itu tidak selazim yang disebabkan oleh subvarian baharu ini.
“Amalan kunjung-mengunjung semasa musim perayaan tidak salah dan masih boleh diteruskan, tetapi mungkin ada yang sudah alpa, lupa, berasa selesa atau leka dengan pemakaian pelitup muka. Jadi, saya ingatkan masyarakat untuk terus kekal patuh SOP (prosedur operasi standard) secara berterusan tanpa bosan.
“Bagi mereka yang disyaki mempunyai gejala atau simptom, dinasihatkan untuk jujur pada diri dengan tidak meneruskan amalan kunjung-mengunjung. Apatah lagi jika rumah yang ingin dikunjungi itu ada orang tua ataupun orang sakit yang sistem imunnya rendah kerana ini boleh membahayakan yang lain walaupun kesan subvarian ini tidak bahaya,” nasihat beliau.
Setakat 1 Mei lepas, negara melaporkan 9,780 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 14 hari dengan Selangor merekodkan kes terbanyak, iaitu 3,414 kes, diikuti Kuala Lumpur (2,130) dan Melaka (792).
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa pada 24 April lepas, dipetik berkata kementeriannya mengesan 12 kes jangkitan Arcturus di negara ini, iaitu empat di Selangor, dua di Kuala Lumpur dan enam di Sarawak.
SITUASI MENANG-MENANG
Sementara itu, menurut Prof Dr Sanjay Rampal, pakar perubatan kesihatan awam daripada Universiti Malaya, subvarian COVID-19 yang baharu ini mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menjadi strain utama dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Walaupun subvarian ini memungkinkan berlakunya peningkatan jumlah kes dalam tempoh perayaan ini kerana sifat Arcturus yang mudah berjangkit, masyarakat tidak perlu bimbang kerana kita mempunyai kapasiti mencukupi untuk mengendalikan beban jangkitan semasa.
“Akan tetapi, pada masa sama kita perlu terus memantau rapi perkembangan jangkitan dan memastikan perkhidmatan kesihatan awam di peringkat akar umbi mempunyai sumber dan kapasiti mencukupi untuk mencegah dan mengawal (kemungkinan gelombang baharu) COVID-19,” kata beliau.
Dr Sanjay turut menasihati individu yang mengesyaki dirinya bergejala agar membuat ujian kendiri sebelum mengunjungi rumah orang lain serta berjumpa doktor jika gejala yang dialami berpanjangan sekalipun ujian kendiri menunjukkan keputusan negatif.
Sementara itu, mengambil kira situasi semasa, pakar sosial Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran menasihati orang ramai agar menerima guna amalan yang boleh mencegah mereka daripada dijangkiti semasa berkunjung ke rumah terbuka.
“Budaya orang Melayu, bila berjumpa kawan dan sanak saudara, antara perkara paling utama atau awal dilakukan ialah bersalaman, dan dengan berlakunya sentuhan ini, maka wujud keakraban iaitu ‘the power of touching’.
“Namun aspek ini boleh kita ubah, bergantung pada situasi, kerana kita pastinya tidak mahu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang kita lalui dahulu berlaku lagi,” kata beliau.
“Sehubungan itu, pentingnya situasi menang-menang, iaitu amalan berkunjung semasa raya ini boleh dilakukan tetapi dengan ‘ziarah terdidik’, tidak alpa SOP yang ditetapkan ataupun (berjumpa) secara maya,” katanya. – BERNAMA