KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memuat naik hantaran berunsur hasutan di media sosial.
Setiausaha Polis Malaysia Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berusia 51 tahun itu yang menggunakan nama @Cheartstudi dalam akaun Tik Toknya ditahan di sekitar Kuala Muda, Kedah, Sabtu lepas.
“Suspek disyaki telah memuat naik hantaran berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek direman tiga hari sehingga 23 Mei di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Noorsiah mengingatkan orang ramai agar menghormati institusi kehakiman negara yang dirangka kewujudannya berpandukan Perlembagaan Persekutuan untuk menegakkan keadilan berlandaskan undang-undang.
“Mana-mana individu atau pihak yang didapati dengan sengaja mengeluarkan sebarang kenyataan bagi maksud menghina atau memperlekeh sistem perundangan Malaysia akan diambil tindakan tegas,” katanya. – BERNAMA