KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini gagal dalam cubaan kali kedua untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down, dikenali sebagai Bella.
Siti Bainun, 31, memohon untuk penggantungan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Siti Bainun selaku pemohon selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman itu.
“Setelah meneliti afidavit dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan isu-isu dihujahkan oleh peguam pemohon tidak dapat menunjukkan keadaan khas atau luar biasa yang membolehkan mahkamah membenarkan permohonannya.
Pemohon juga telah disabitkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen dan hakim itu juga telah menolak permohonan serupa dengan alasan-alasan yang mahkamah ini bersetuju dengan hakim itu,” kata Ahmad di sini hari ini.
Pada 3 Mei lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.
Siti Bainun dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara itu.
Sementara itu, Ahmad dalam penghakimannya berkata Siti Bainun menyatakan bahawa dia menghadapi masalah kesihatan seperti asma, sakit hempedu dan “gerd”, namun tiada laporan pakar dikemukakan sedangkan beban pembuktian terletak kepada pemohon.
“Apa yang ada adalah laporan perubatan biasa bertarikh 6 Disember 2022, surat kemasukan pemohon ke hospital pada 28 November 2022 dan gambar hidung serta bibirnya tidak dapat membantu mahkamah.
“Namun, pihak responden (pendakwaan) memfailkan afidavit jawapan Pegawai Perubatan di Klinik Penjara Wanita Kajang Dr S S Sunita yang mengendalikan pemeriksaan kesihatan pemohon dan mendapati pemohon dalam keadaan stabil, tidak mengalami apa-apa komplikasi kesihatan serta tidak mempunyai masalah kesihatan serius,” kata hakim itu.
Menurut Ahmad, tiada afidavit balasan difailkan pemohon untuk mematahkan laporan dan pendapat Dr Sunita.
“Ini adalah satu kekurangan yang melemahkan permohonan pemohon yang cuba memberi alasan bahawa pihaknya menerima afidivit tersebut lewat.
Mahkamah berpendapat alasan ini adalah difikirkan kemudian (eng:afterthought) kerana jika pemohon ingin menjawab kepada afidavit itu, ia boleh dilakukan selewat-lewatnya pada pagi, 18 Mei lepas kerana hujahan lisan pada sebelah petang,” katanya dan menambah peluang tersebut tidak diambil oleh pemohon.
Hakim itu berkata, alasan bahawa pemohon menanggung ibu yang tua dan sakit adalah isu peribadi berkaitan dengan urusan keluarga selain pemohon bergiat aktif dalam kerja amal bukanlah satu keadaan khas yang mewajarkannya untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara.
“Tanpa pemohon, kerja-kerja amal tidak terhenti atau terbantut kerana masih banyak lagi sukarelawan yang bergiat dalam kerja amal. Pemohon sebelum ini bergerak aktif di dalam badan sukarelawan melibatkan kanak-kanak dan jika permohonan ini dibenarkan, dia mempunyai kecenderungan untuk melakukan kesalahan,” katanya.
Ahmad berkata, alasan bahawa pemohon menjaga seorang kanak-kanak lelaki bukanlah keadaan istimewa yang mewajarkan penggantungan pelaksanaan hukuman diberikan kerana afidavit sokongan daripada pegawai penyiasat menunjukkan kanak-kanak itu tinggal bersama ibu dan bapanya di Puchong sejak tahun lepas dan bukannya tinggal bersama pemohon.
“Ibu berkenaan iaitu Noor Marliana Ramlee juga menafikan beliau ditanggung oleh pemohon sebaliknya menyatakan beliau mempunyai suami yang menanggungnya,” katanya.
Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.
Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria dan Shakira Aliana Alias manakala peguam Ahmad Faiz Munawar mewakili Siti Bainun.
Turut hadir pada prosiding hari ini ialah peguam pemerhati iaitu Mohd Radzi Yatiman yang dilantik Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim. – BERNAMA