CYBERJAYA: Baru-baru ini, seorang wanita bekerja sebagai juruwang di sebuah stesen minyak berdepan dengan pengalaman yang sukar dilupakan apabila menerima hinaan daripada pelanggan yang menganggap dirinya tidak berpelajaran.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok Izzaty Nazmi, dia didatangi seorang pelanggan untuk membayar air tin lalu bertanyakan soalan kepadanya adakah dia sudah habis belajar.
Lalu, Izzaty menjawab ‘iye’ sambil tersenyum kerana menganggap pak cik itu ingin beramah mesra sementara menunggu bayarannya.
Apa yang mengejutkan Izzaty, dia tidak menyangka pak cik tersebut akan mencela pekerjaannya.
“Belajar tak pandailah tu, kenapa tak belajar tinggi-tinggi? Bolehlah merasa gaji RM5,000 hingga RM6,000.
“Kerja pam petrol saja? Boleh lah kot RM1,500 kan,” ucap pelanggan tersebut dengan sindiran.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen pernah mengalami pengalaman yang sama apabila diejek oleh orang yang tidak dikenali mereka.
“Aku pernah kena weh, sumpah sakit. Dia boleh cakap macam ni ‘anak pak cik 5 orang semua masuk universiti, kolej. Setakat kami ni kedai makan saja’ dalam hati aku ya Allah,” kongsi netizen.
Malah, ada juga yang mengatakan walaupun mempunyai pelajaran yang tinggi namun, bukan mudah untuk mencari pekerjaan pada zaman sekarang.
“Adik saya degree (hons) Pharmacist dari UKM terpaksa kerja jaga sayur Econsave sebab tak dapat kerja. PTPTN kena bayar,” tulis netizen.
“Pak cik tu ingat belajar tinggi-tinggi senang ke dapat kerja. Menantu saya 2 orang ada degree engineer susah nak dapat mohon apa pun susah nak dapat,” luah netizen.
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)