PETALING JAYA: Skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara membawa misi wajib menang apabila bertandang ke Stadium Prince, Phnom Penh di Kemboja dengan perlawanan pertama menentang Laos bagi saingan kumpulan B, Rabu ini.
Tonggak tengahnya, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi berharap rakan sepasukan mampu menggunakan semua pengalaman yang dimiliki untuk mengutip tiga mata penuh, sekali gus membakar semangat untuk terus menampilkan aksi cemerlang dalam beberapa perlawanan lain di peringkat kumpulan.
“Kita perlu kumpul tiga mata pada perlawanan pertama untuk bakar semangat (walaupun) satu cabaran yang sukar melawan Laos… (jadi kita) tidak harus mengambil mudah cabaran lawan.
“Saya tengok semua pemain dapat menyesuaikan diri dengan taktikal jurulatih. Saya pernah bermain dalam pasukan senior dengan taktikal yang sama. Jadi saya harap pemain dapat fokus untuk Sukan SEA kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita ketika menjalani latihan akhir di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, di sini hari ini.
Muhammad Mukhairi, 22, yang mengimpikan kemenangan buat pasukannya, turut berjanji mencari persefahaman secepat mungkin bersama skuad kendalian E. Elavarasan itu memandangkan beliau tidak dapat bersama ketika pasukan menjulang Piala Merlion 2023 di Singapura Mac lepas kerana mengalami jangkitan kuman dalam perut.
“Saya nak (Malaysia jadi) juara sebab tahun lepas kita kalah semi final. Saya harap tahun ini peluang terbaik kerana ini Sukan SEA terakhir saya dan saya akan buat yang terbaik,” katanya yang akan berlepas ke Kemboja esok bersama skuad B-22.
Bagi saingan edisi kali ini, Malaysia di undi dalam Kumpulan B dan dijadualkan bertemu Laos (3 Mei) diikuti Thailand (6 Mei) dan Vietnam (8 Mei) dan Singapura (11 Mei).
Perjalanan skuad bola sepak di temasya dwitahunan itu pada edisi tahun lepas di Hanoi, Vietnam terhenti di peringkat separuh akhir selepas tewas 0-1 kepada pasukan tuan rumah yang juga juara bertahan.
Dua belas tahun lepas di Jakarta, Indonesia, Malaysia meraih emas dengan menewaskan tuan rumah 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat dengan keputusan 1-1. – BERNAMA