HomeBeritaSurat khabar masih relevan - PM

Surat khabar masih relevan – PM

IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau masih membaca surat khabar pada setiap hari bagi mengetahui perkembangan isu semasa.

Menurutnya, meskipun segala perkembangan kini boleh didapati di media sosial namun, peranan akhbar masih relevan.

“Sentuh tentang cabaran media sosial, saya mungkin mewakili fikiran lama. Saya masih setiap hari selain daripada melihat sedikit perkembangan di media sosial, saya anggap membaca surat khabar itu satu perkara yang wajib.

“Jadi saya teruskan dan saya masih lagi mewakili pandangan bahawa surat khabar itu masih punyai peranan yang lebih tinggi dan wajar dibandingkan dengan media sosial,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional 2023 di Hotel Casuarina Meru, disini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut berpandangan bahawa sesebuah medium penyampaian berita itu akan kekal relevan sekiranya tiga ciri utama dijaga rapi.

“Saya terbaca juga satu kupasan baru di Amerika Syarikat mungkin tahun lalu, yang menunjukkan bahawa pandangan bahawa beberapa medium utama itu akan merosot nampak terbukti salah.

“Ada beberapa medium kalau dipertahankan integritinya, kebebasannya dan mutunya nampaknya mampu bertahan,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor