KUALA LUMPUR:UMNO berazam untuk memberikan rakyat Malaysia sebuah kerajaan yang diyakini, sentiasa mempertahankan nilai-nilai demokrasi dan hak kemanusiaan serta cakna kepada realiti semasa.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan sempena ulang tahun UMNO ke-77 berkata, keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan merupakan peluang parti untuk menggalas tanggungjawab dalam mentadbir negara dengan sebaiknya serta membuktikan kebolehan memimpin harapan rakyat.
“Sebab itu, adalah sangat penting untuk kita menjelmakan kembali kekuatan parti UMNO. UMNO perlu kuat dan mantap, mempunyai tapak yang luas lagi inklusif.
Bersempena ulang tahun UMNO yang ke-77, UMNO akan menunjukkan jalan teladan dalam menjayakan politik baru yang lebih matang dan bermakna,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi beliau di sini, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO tidak akan sesekali lelah dalam menawarkan penyelesaian tuntas kepada permasalahan rakyat meliputi usaha meningkatkan taraf ekonomi, pembasmian kemiskinan tegar dan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara paling kompetitif dan pesat membangun.
“Mari kita gilap semangat dan idealisme perjuangan parti yang bersejarah dan membina UMNO yang lebih progresif dan mendepani dengan idea-idea segar bagi berdepan politik toksik pembangkang yang direncahkan dengan perkauman yang sempit dan sentimen tunggangan agama melampau tanpa memikirkan tanggungjawab untuk membina negara bangsa,” katanya.
Mengenai ulang tahun UMNO ke-77, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata ia adalah tanda kematangan parti dalam menempuh suka duka, pahit manis sekali gus pulih, bangkit dan bergerak ke hadapan.
“Selamat menyambut ulang tahun UMNO ke-77 dengan muhasabah diri, kesyukuran dan keinsafan untuk membina masa depan UMNO lebih gemilang.
Di depan api, di belakang duri, UMNO tidak pernah gentar mengharungi cabaran dan masa depan. Sebaliknya inilah membentuk kematangan baru dan dinamika UMNO masa kini!,” katanya.
Sambutan ulang tahun UMNO ke-77 yang diadakan malam ini dimulakan dengan solat Maghrib, diikuti bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat selain amanat ulang tahun oleh Ahmad Zahid. – BERNAMA