Pelumba berusia 35 tahun, yang turut menggondol emas acara pecut dan keirin serta perak acara pecut berpasukan di Nara, Jepun, 15 tahun lalu, memburu sekurang-kurangnya satu gelaran kali ini dalam ACC, yang menawarkan mata kelayakan berharga untuk Sukan Olimpik Paris 2024.
Juara dunia keirin 2017 itu, yang merupakan pelumba negara paling berjaya dalam ACC dengan 10 pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa, berharap dapat memanfaatkan kelebihan di gelanggang sendiri untuk mencapai misinya.
“Setakat ini, semuanya berjalan lancar. Saya tidak akan mengatakan saya berada di puncak ketika ini tetapi berdasarkan prestasi pada Piala Trek Antarabangsa Hong Kong baru-baru ini, saya (menuju) ke arah yang betul. Sasaran saya sekurang-kurangnya satu emas, tetapi jika saya boleh memenangi kedua-duanya (pingat emas dalam pecut dan keirin) maka bagus.
“Saya sangat teruja kerana ACC kembali ke Malaysia (sejak 2018)… di hadapan penonton tuan rumah. Bukan selalu kita mendapat peluang ini.
“Semoga sokongan padu peminat akan meningkatkan semangat saya pada hari perlumbaan,” katanya, pelumba, yang mendapat julukan ‘The Pocket Rocketman’, kepada Bernama, hari ini.
Beliau akan memulakan kempen, Khamis ini, dalam pusingan kelayakan dan awal acara pecut, diikuti separuh akhir dan akhir pada Jumaat dan acara keirin, Ahad ini.
Azizulhasni berharap rehat sehari pada Sabtu akan membantu dalam pemulihan dan meningkatkan tenaganya untuk mencabar emas keirin pada hari berikutnya.
Walaupun keirin adalah acara kegemarannya, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, telah memenangi enam daripada 10 pingat emas ACC dalam acara pecut, manakala tiga lagi daripada keirin dan satu dalam acara pecut berpasukan.
“Biasanya, acara diadakan berturut-turut dan kadangkala pada hari yang sama. Selepas bersaing dalam pecut, yang menghabiskan tenaga kita, kita tidak berada pada tahap 100 peratus pada hari berikutnya dan apa-apa boleh berlaku dalam acara keirin, seperti disekat (oleh penunggang lain atau terbabas).
“Berehat sehari, saya fikir, akan banyak membantu. Namun, kami sudah bersedia dan sudah biasa dengan jadual yang padat semasa kejohanan. Sekurang-kurangnya, kami bersedia menghadapinya – dari segi mental dan fizikal,” katanya.
Mengenai cabaran kali ini, Azizulhasni menamakan pelumba dari Jepun dan China sebagai saingan terkuat terutamanya bintang yang semakin meningkat, Shinji Nakano dan Kaiya Ota, dari Jepun.
Selain Azizulhasni, Malaysia juga akan bersandarkan kepada pelumba seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Mohd Zonis untuk kilauan emas di ACC.
Sementara itu, Nakano, 24, mengisytiharkan bahawa beliau akan memberikan segalanya untuk menyukarkan pelumba pilihan tuan rumah, Azizulhasni, dalam acara keirin.
“Ini adalah pertandingan penting untuk Sukan Olimpik Paris. Jadi, jelas sekali, saya mahu menang dan ini adalah salah satu pertandingan latihan kami. Azizuhasnil dan Shah Firdaus sangat kuat, mereka akan menjadi pencabar utama saya… jadi, saya akan melakukan yang terbaik untuk menewaskan mereka.
“Ya, ini adalah gelanggang mereka dan sudah biasa dengan velodrom ini tetapi saya harap kami akan dapat membiasakannya juga. Kami juga tidak mengalami sebarang ‘jet lag’ (kelesuan) datang dari Jepun, jadi saya rasa saya boleh menang,” kata Nakano, yang tiba di sini,kelmarin.
Amaran Nakano tidak boleh dipandang remeh oleh pelumba negara, lebih-lebih lagi selepas pelumba Jepun itu membuktikan kehebatannya dengan memenangi kejuaraan keirin Piala Negara UCI di Kaherah, Mesir. Mac lalu. – BERNAMA