KUALA LUMPUR: Seorang aktivis haiwan dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini memfailkan tindakan undang-undang bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) mendakwa seorang lelaki yang menyeksa dan membunuh anak-anak kera untuk hiburan dengan menjual video penyeksaan itu menerusi aplikasi Telegram.
Dr Kartini Farah Abdul Rahim, 50, dan Pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia Global (Hidup) selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman menerusi Tetuan Raj & Sach di Mahkamah Tinggi di sini, dengan menamakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), AGC dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh media, wanita itu memohon satu perintah untuk membatalkan keputusan AGC bertarikh 5 April lepas untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap siasatan laporan polis yang dibuat oleh pemohon, selain memohon perintah mengarahkan AGC menuduh individu berkenaan di bawah undang-undang yang sewajarnya.
Dr Kartini mendakwa pada 20 Jan lepas, beliau telah mendapat makluman daripada dua persatuan pencinta haiwan dari United Kingdom dan Amerika Syarikat mengenai satu kumpulan penyeksa monyet yang individu berkenaan telah bertindak sedemikian dan terdapat ratusan ahli yang menyertai kumpulan itu di Telegram.
“Rakaman video-video tersebut menunjukkan perbuatan penyeksaan terhadap anak-anak monyet jenis kera (long-tailed macaques/Macaca Fascicularis) seperti mengerat leher menggunakan gunting, membakar kera ketika ia masih hidup dan memotong jari haiwan berkenaan satu demi satu di dalam tandas rumahnya.
“Pada tarikh sama (20 Jan), saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, Selangor yang mengandungi maklumat terperinci mengenai individu terbabit dan semasa siasatan oleh pihak polis, lelaki berkenaan mengaku telah menyeksa anak-anak kera itu,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Kartini mendakwa pihak polis telah membebaskan individu itu tanpa sebarang tuduhan dikenakan terhadapnya.
Wanita itu juga mendakwa pada 5 April lepas, peguamnya menerima surat daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam yang memaklumkan bahawa kertas siasatan bagi laporan polisnya telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, namun ia telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Peguam saya telah menghantar surat kepada AGC bagi mendapatkan alasan mengapa laporan polis itu diklasifikasikan sebagai NFA, namun pada 22 Mei lepas, Bahagian Pendakwaan AGC memaklumkan ia bukan amalan AGC untuk memberi alasan bagi sesuatu keputusan NFA,” katanya.
Beliau mendakwa keputusan AGC yang mengklasifikasikan laporan polisnya sebagai NFA adalah tidak munasabah dan salah dari segi prosedur kerana individu terbabit telah membuat pengakuan terhadap perbuatannya kepada pihak polis.
Sementara itu, peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili kedua-dua pemohon ketika dihubungi Bernama mengesahkan pemfailan permohonan itu. – BERNAMA