KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang meluahkan rasa kecewanya terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) yang masih gagal menyediakan sistem sokongan lengkap di sini sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Azizulhasni berkata, beberapa siri perbincangan telah dibuat dengan MSN dalam tempoh setahun sebelum beliau kembali ke tanah air daripada pangkalan latihan di Melbourne, Australia, namun sehingga kini tidak menemui jalan penyelesaian.
Katanya, beliau menerima dengan hati terbuka keputusan MSN yang mahu menutup kem latihan pusat skuad berbasikal trek negara di Melbourne, namun kepulangannya ke tanah air tidak disertakan dengan sistem sokongan yang lengkap dan bertaraf dunia seperti dijanjikan.
“Sirih tidak kisah untuk pulang ke gagang, asalkan sistem sokongan di Malaysia nanti adalah setara ataupun lebih bagus daripada di Melbourne. Perbincangan dan perjumpaan dengan wakil saya telah berlangsung lebih 10 kali dan jawapan yang diterima amat mengecewakan.
“Tersangat tidak profesional dan hanya membiarkan perkara tergantung dalam jangka masa yang amat lama. High performance sport (sukan berprestasi tinggi) apa benda macam ni!,” luah Mohd Azizulhasni di laman Facebook rasminya hari ini.
Katanya, jika tidak mendapat sistem sokongan yang bagus di dalam negara, adalah lebih baik beliau pulang semula ke Melbourne bagi menjalani latihan sebagai persiapan berbaki setahun lebih sahaja sebelum Sukan Olimpik 2024 itu.
“Bukan tidak suka berada di Malaysia, akan tetapi untuk atlet bertaraf dunia seperti saya, berlatih di Melbourne (buat masa ini) adalah lebih efektif dan di sana saya boleh berlatih dengan tenang tanpa gangguan pelbagai perkara terutamanya politik sukan seperti ini.
“Lebih baik saya berlatih dengan aman di sana dan hanya pulang berlatih dengan pasukan di Malaysia untuk training camp (kem latihan) atau spesifik training (latihan khusus)Â sahaja seperti yang dipraktiskan oleh atlet pelbagai sukan di Eropah,” katanya.
Beliau dalam masa sama menyatakan kekecewaan terhadap beberapa individu di MSN yang bertindak mengambil sikap sambil lewa berhubung janji yang dituntutnya sebelum ini.
Bagaimanapun, Juara Dunia Berbasikal Trek Keirin 2017 itu difahamkan sudahpun memanjangkan isu itu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jawatankuasa Program Road to Gold (RTG) untuk tindakan lanjut. – BERNAMA