PASTI sesiapa sahaja berasa seram dan tertanya-tanya saat melihat sebuah rumah mewah tersergam indah di sekitar kawasan perkuburan.
Rumah mewah bak istana yang terletak di kawasan perkuburan itu kini tular di media sosial menggamit perhatian warga maya yang tertanya-tanya motif ia dibina di kawasan sebegitu.
Menerusi perkongsian di TikTok @rendywyjaya, difahamkan rumah berkenaan adalah milik seorang ahli perniagaan bernama Agus dan lokasinya terletak di Darma, Kuningan di Jawa Barat, Indonesia.
Dalam perkongsian sama, Rendy turut memaklumkan bahawa pembinaan rumah mewah itu di tengah kawasan perkuburan membuatkan manusia lebih ingat akan kemewahan sementara di dunia dan kematian.
“Rumah ini dirancang dengan perincian luar biasa.
“Pemilik rumah ini iaitu Pak Agus berkata, beliau memilih untuk tinggal di sini (kawasan perkuburan) kerana beliau berasa tenang dan damai di antara kuburan.
“Di malam hari, kawasan perkuburan ini memberikan suasana yang sangat damai buatnya berbeza dengan sebahagian orang merasa takut,” maklumnya dalam video berkenaan.
Sementara itu, menerusi akaun YouTube Rizquna Channel pula menyatakan kos pembinaan rumah mewah yang kelihatan seperti bangunan masjid itu mencecah hingga Rp5 bilion (RM1.6 juta).
Lebih menggerunkan apabila rumah yang dibina tiga tingkat dengan 12 bilik tidur dan tujuh bilik mandi itu merupakan satu-satunya bangunan yang ada di kawasan perkuburan tersebut.
Untuk rekod, Agus merupakan seorang ahli perniagaan sunat laser yang mengeksport produknya hampir ke 64 negara termasuk di Asia, Timur Tengah dan Eropah, lapor Serambi News.