WASHINGTON: Belon China yang ditembak jatuh oleh tentera Amerika Syarikat (AS) di atas perairan wilayah AS pada awal Februari tidak mengumpul maklumat risikan, agensi berita Jerman (dpa) memetik Pentagon.
“Seperti yang anda dengar pada masa itu, kami sedar bahawa (belon) mempunyai keupayaan mengumpul risikan,” kata jurucakap Pentagon Pat Ryder pada sidang media pada Khamis ketika disoal oleh wartawan berkenaan pesawat itu.
“Tetapi ia adalah (…) dan berdasarkan penilaian kami sekarang ia (belon) tidak mengumpul maklumat risikan semasa sedang transit di Amerika Syarikat atau terbang di udara Amerika Syarikat,” menurut Ryder.
Beliau berkata pada masa itu Washington mengambil “langkah untuk menangani usaha mengumpul belon itu” tanpa memberikan butiran lanjut.
Hubungan antara Washington dan Beijing tegang apabila tentera AS mengesan apa yang disyaki pegawai AS pada masa itu sebagai belon pengintip China di ruang udara AS.
Tentera Udara AS menembak jatuh belon itu pada 4 Februari di luar pantai Carolina Selatan selepas ia berlegar di atas tanah besar AS selama beberapa hari.
Washington menuduh China mengintip, tetapi dibantah oleh Beijing.
Berikutan itu, setiausaha negara AS Antony Blinken membatalkan lawatannya ke Beijing, namun akhirnya meneruskan perjalanan ke China pada Jun.
Semasa lawatan Blinken ke Beijing, kedua-dua pihak menyatakan hasrat mereka untuk menstabilkan hubungan yang mencabar.
Situasi kembali tegang tidak lama selepas itu apabila Presiden AS Joe Biden menyamakan Presiden China Xi Jinping seperti “diktator”. – BERNAMA-dpa