MADRID: Karim Benzema dan Lionel Messi dilaporkan akan menyertai Cristiano Ronaldo di Liga Pro Saudi selepas bekas penyerang Perancis itu mengesahkan akan meninggalkan Real Madrid.
Saluran televisyen Arab Saudi, El-Ekhbariya mendakwa, Benzema, 35, sudah menandatangani kontrak bersama Al-Ittihad.
Pegawai pasukan Al-Hilal pula berada di Perancis bagi memujuk Messi menyertai mereka selepas pemain 35 tahun itu beraksi buat kali terakhir untuk Paris Saint-Germain pada Sabtu.
Messi tiba di Paris dua musim lalu dari Barcelona tetapi gagal membantu PSG memenangi gelaran Liga Juara-Juara Eropah, dengan kelab tersingkir di peringkat 16 terakhir dalam kedua-dua musim itu.
Penyerang Portugal, Ronaldo menikmati musim pertamanya di Arab Saudi bersama Al-Nassr selepas berpindah dari Manchester United sebaik tamat Piala Dunia tahun lalu.
Menurut Al-Ekhbariya, presiden Al-Ittihad dan timbalannya berada di Madrid untuk menandatangani Benzema secara rasmi dalam rekod perpindahan tertinggi Real Madrid.
Benzema dikatakan bersetuju dengan kontrak dua tahun bersama juara Arab Saudi itu, lapor portal Superspot.
Benzema menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan terakhirnya bersama Madrid, ketika seri 1-1 dengan Athletic Bilbao.
Dalam pada itu, delegasi Arab Saudi merancang bertemu bapa Messi dan ejen, Jorge, dengan tujuan untuk menyempurnakan proses menandatangani kontrak secepat mungkin.