INFLASI Sweden menurun kurang daripada jangkaan pada bulan Mei, apabila peminat Beyonce berpusu-pusu dari seluruh dunia ke konsertnya di Stockholm, hingga mendorong kenaikan harga hotel dan restoran, menurut data yang diterbitkan oleh Statistik Sweden pada Rabu.
Harga pengguna meningkat sebanyak 9.7 peratus bulan lepas mengikut kadar tahunan, turun daripada 10.5 peratus pada April, jatuh di bawah 10 peratus buat kali pertama dalam tempoh enam bulan, kata laporan itu.
Inflasi teras, yang tidak termasuk kos tenaga dan kesan perubahan kadar faedah, melonjak 8.2 peratus tahun ke tahun, lebih tinggi daripada 8.1 peratus yang dijangkakan oleh Riksbank, bank pusat Sweden.
Walaupun penurunan harga elektrik dan makanan menyumbang kepada kadar inflasi yang lebih rendah pada bulan Mei, kos barangan dan perkhidmatan tertentu telah meningkat, kata seorang ahli perangkaan di Statistics Sweden, Mikael Nordin, dalam satu kenyataan.
Ketua ekonomi Sweden di Danske Bank, Michael Grahn, mengaitkan inflasi yang lebih ‘panas’ dengan lawatan yang dibuat oleh bintang R&B Amerika itu.
“Permulaan jelajah dunia Beyonce di Sweden nampaknya telah mewarnai inflasi Mei, berapa banyak tidak dapat dipastikan,” katanya. Grahn menulis di Twitter bahawa konsert Beyonce yang digembar-gemburkan pada bulan Mei, yang menandakan jelajah solo pertamanya dalam tujuh tahun, mungkin menyumbang 0.2 daripada 0.3 mata peratusan peningkatan inflasi.
Lebih 80,000 peminat Beyonce membanjiri Stockholm selama dua malam dan berkemungkinan menyumbang kepada kenaikan mendadak harga hotel dan restoran, yang meningkat 3.3 peratus pada Mei berbanding bulan sebelumnya. Data menunjukkan, harga untuk rekreasi, aktiviti kebudayaan dan pakaian juga meningkat. – RT