PUTRAJAYA: Bukan semua permintaan atlet di bawah program Road To Gold (RTG) akan dipenuhi dan ia bergantung kepada kewajaran permintaan tersebut, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Beliau berkata RTG, yang menyediakan bantuan sokongan kepada atlet dalam misi menggenggam emas di temasya Sukan Olimpik itu, akan meneliti sepenuhnya sesuatu permintaan sebelum ia ditunaikan.
“Permintaan atlet mestilah wajar dalam membantu prestasi mereka dan ia akan diputuskan bersama jawatankuasa RTG,” katanya pada sidang media pengumuman Geran Padanan Sukan (GPS) di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permintaan pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia yang mahukan rakan sparring serta latihan di luar negara bagi memastikan peningkatan prestasinya dalam satu pertemuan bersama Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin, semalam.
“RTG ini adalah perkhidmatan sokongan jadi tak boleh tuntut perkara yang asas. Ini adalah tugas atlet sendiri lagi-lagi jika mereka bergerak secara persendirian jadi mereka sudah tahu ini adalah kos yang perlu ditanggung,” katanya.
Terdahulu, pada majlis tersebut KBS mengumumkan syarat permohonan dana GPS kepada syarikat, persatuan sukan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan koperasi berdaftar yang menganjurkan program dan aktiviti sukan dalam negara.
Permohanan boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman sesawang https://www.kbs.gov.my/gps.html mulai hari ini hingga 31 Julai, dengan keutamaan diberikan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) bagi tujuan penganjuran.
Syarat ketat peruntukan RM40 juta geran itu menyaksikan pemohon perlu telus dan penganjuran berkenaan dapat memanfaatkan atlet negara dalam usaha membaiki prestasi atau ranking mereka.
Menurut Hannah, pemberian dana GPS adalah 50 peratus daripada kos program atau maksimum sehingga satu juta ringgit, secara tuntutan bayaran balik, serta sebarang penganjuran perlu berkaitan 103 jenis sukan terkandung dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
Pada masa sama, dua sekretariat diterajui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah ditubuhkan, bertujuan untuk melakukan semak dan imbang bagi mengelakkan sebarang ketirisan atau pilih kasih dalam pelaksanaan pemberian geran tersebut. – BERNAMA