PUTRAJAYA: Dua kanak-kanak perempuan lemas manakala seorang lelaki berusia lingkungan 30-an hilang ketika mandi di Pantai Bagan Lalang, Selangor, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 2.34 petang dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sepang tiba di tempat kejadian kira-kira 23 minit kemudian.
“Mangsa iaitu kanak-kanak perempuan berumur tujuh dan sembilan tahun ditemukan 50 meter dari lokasi kejadian dan kematian mereka disahkan pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mangsa lelaki pula masih belum dijumpai. Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pihak bomba,” menurut PGO dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pihak bomba telah membuka pos kawalan operasi di tempat kejadian untuk mencari mangsa. – BERNAMA