JAKARTA: Isu pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menjadi agenda utama pertemuan antara Imigresen Indonesia dan Malaysia baru-baru ini.
Mesyuarat itu dihadiri Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh dan rakan sejawatnya, Silmy Karim yang diadakan di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya pada Selasa.
“Lawatan ke Imigresen Malaysia bertujuan untuk mencari penyelesaian bagi PATI warga Indonesia yang bekerja supaya boleh menjadi pekerja sah,” kata Silmy dalam satu kenyataan.
Pihaknya bersedia mengeluarkan pasport kepada PATI yang berkerja dan mencadangkan Imigresen Malaysia mengeluarkan pas kerja dengan prosedur tertentu sehingga mereka mempunyai dokumen lengkap.
Mesyuarat itu turut menyentuh mengenai usaha pencegahan jenayah pemerdagangan manusia.
Menurut kenyataan itu, terdapat 450,000 pekerja Indonesia yang direkodkan kerajaan Malaysia setakat ini, berbanding 1.5 juta pekerja yang direkod Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur.
Malaysia telah menghantar pulang 11,000 pekerja Indonesia manakala seramai 309 warga Indonesia masih berada di Depot Tahanan Imigresen Malaysia.
Sebelum menghadiri mesyuarat itu, Silmy sempat meninjau Imigresen Indonesia di Pontianak dan Entikong, Kalimantan Barat yang terletak di sempadan Malaysia-Indonesia pada Isnin.
Beliau turut melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu yang merupakan pintu masuk antara Sarawak dan Kalimantan Barat, kira-kira 100 kilometer dari Kuching. – BERNAMA