BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah jenis heroin seberat 1.412 kilogram (kg) dengan nilai pasaran dianggar berjumlah RM132,375, Selasa lepas.
Pengarahnya, Hamisan Kalip berkata, rampasan dilakukan selepas pihaknya menyita satu kotak bungkusan daripada sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran kurier, di Kompleks Kargo Udara Kedua, Jalan Batu Maung, dekat sini.
“Pemeriksaan awal terhadap bungkusan itu, pihak kastam mengesan serbuk putih disyaki dadah di dalam bekas tepung minuman suplemen dikenali sebagai ‘Organic Meal Replacement’ dan bungkusan tersebut dibawa ke Pejabat Kastam Kompleks Pencegahan Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan menjumpai enam bekas tepung minuman suplemen produk keluaran tempatan yang mempunyai kandungannya disimpan di dalam sebuah kotak syarikat perkhidmatan penghantaran kurier untuk dieksport ke luar negara di benua Oceania,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hamisan berkata tiga daripada enam bekas tepung minuman suplemen yang diperiksa mengandungi serbuk berwarna putih disyaki dadah jenis heroin manakala selebihnya pula mengandungi serbuk berwarna krim yang tidak diketahui jenisnya.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam tangkapan berasingan pada 8 Mei lepas pula, Hamisan berkata, pihaknya menumpaskan penyeludupan kayu gaharu seberat 12.08kg disyaki tidak berkastam yang dianggar bernilai RM33,930 dan cukai berjumlah RM1,696.50 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Beliau berkata, rampasan dilakukan hasil pemeriksaan pada 10.05 malam terhadap sebuah bagasi milik penumpang lelaki warga asing di Balai Ketibaan lapangan terbang itu.
“Siasatan mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an itu membawa masuk kepingan kayu tersebut bagi kegunaan ibadat dan dia dikompaun serta diarah membayar cukai terlibat. Barang dagangan dirampas dan dilucutkan hak untuk pelupusan,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. – BERNAMA