SEGAMAT: Keluarga wanita yang maut dihempap bumbung sekolah akibat ribut di Kampung Tahang Rimau di sini masih terkejut dengan kehilangan mangsa semalam.
V. Bala, 51, berkata, ketika kejadian pada kira-kira 7.15 malam, dia bersama mangsa, P Mahadevi, 55, dan abang iparnya, P Saravanan, 57, berada di rumah apabila terdengar dentuman kuat disusuli jeritan dari arah dapur.
Dia berkata, Saravanan terus ke bahagian dapur dan mendapati ia telah dihempap oleh bumbung sekolah yang berada bersebelahan dengan rumahnya dan terus mencari mangsa.
“Dia terkejut apabila melihat kakak berada di bawah bumbung sekolah berkenaan dan tiada tindak balas apabila cuba mengejutkannya… kami terus bergegas meminta bantuan jiran,” kata Bala kepada pemberita di kediamannya di Jalan Tahang Rimau, Kampung Tahang Rimau, hari ini.
Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa, yang menziarahi keluarga mangsa, turut menyampaikan sumbangan kepada mereka.
Beliau berkata, bantuan awal berbentuk kewangan akan disalur kepada kira-kira 40 keluarga di kawasan Parlimen itu yang menjadi mangsa kejadian ribut malam tadi.
Menteri Kesihatan itu berkata, beliau difahamkan kira-kira 100 keluarga telah terjejas dan akan mengadakan perjumpaan dengan Pejabat Daerah Segamat dalam masa terdekat.
“Saya kini masih mendapatkan jumlah sebenar mangsa yang terlibat dan masih menunggu laporan penuh kejadian sebelum bantuan seterusnya disalurkan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah pula mengesahkan kejadian itu membabitkan satu kematian dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.
“Siasatan lanjut juga mendapati tiada unsur jenayah ditemui dalam insiden ini,” menurutnya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, mangsa merupakan pekerja kantin Sekolah Menengah Seg Hwa serta tinggal di rumah bersebelahan sekolah itu dan mayatnya telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Segamat untuk bedah siasat. – BERNAMA