KOTA BHARU: Usaha kerajaan meneruskan pemberian subsidi kawalan harga ayam dan telur membuktikan langkah proaktif yang diambil itu adalah tepat pada masanya untuk membantu rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, meskipun kerajaan menanggung pemberian subsidi ayam dan telur RM200 juta sebulan, namun ia perlu dilakukan demi memastikan nasib rakyat terus terbela, terutama berkaitan dengan keperluan asas seperti ayam dan telur.
“Kerajaan tidak keberatan untuk menyambung terus subsidi ini demi memastikan rakyat dapat membeli harga ayam dan telur dengan harga yang dikawal kerana kita faham rakyat sedang menanggung situasi kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) dan Menu Rahmah peringkat negeri Kelantan di Pasar Siti Khadijah, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Senator Fuziah Salleh.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya pemberian subsidi serta kawalan harga ayam dan telur, yang sepatutnya berakhir 30 Jun ini, diteruskan selepas 1 Julai ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam kenyataan bersama itu memaklumkan bahawa perkara itu diputuskan setelah mengambil kira semua aspek termasuk memastikan industri ayam dan telur kekal mampan.
Sementara itu mengulas mengenai program ReDi, Salahuddin berkata, kerajaan menyasarkan hampir 30,000 peniaga seluruh negara untuk berdaftar hingga hujung tahun ini.
“Setakat ini kita mempunyai 12,595 peniaga yang telah berdaftar dengan program ini dan kita harap setiap usahawan dapat ambil peluang ini untuk terus maju ke hadapan dan tidak ketinggalan dalam bidang perniagaan yang diceburi mereka.
“Program ini bertujuan memberi sokongan, sumber daya dan bantuan teknologi kepada para peniaga runcit dalam memasuki era digital yang semakin canggih dan kompleks,” katanya. – BERNAMA