KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berumur 31 tahun yang dipercayai mendera bayi teman wanitanya ditahan di sebuah flat di Jinjang di sini malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, DSP D. Saralathan ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan polis akan memohon perintah reman pada Jumaat.
“Siasatan kini dijalankan oleh Bahagian Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur dan Ketua Polis Kuala Lumpur akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.
Semalam, tular video seorang bayi perempuan berusia setahun 11 bulan cedera dipercayai didera teman lelaki ibunya di sebuah pangsapuri di Setapak.
Bayi itu, yang cedera di bahagian belakang badan, bengkak di bibir serta lebam kedua-dua belah mata, kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Siasatan awal polis mendapati punca bayi malang itu dipukul ialah kerana membuat bising dan ibunya dikatakan cuba menghalang suspek tetapi tidak berdaya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. – BERNAMA