JOHOR BAHRU: Hasil perbincangan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF) berhubung cadangan lokasi pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2) dijangka diketahui dalam dua atau tiga bulan lagi.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, perbincangan dua kementerian itu berjalan lancar dan MINDEF turut mengambil maklum kepentingan dan keperluan pembinaan HSA 2 itu.
“Kita akan teruskan perbincangan, mungkin kita akan lihat dalam dua tiga bulan lagi dan jika selesai (perbincangan), kita tidak ada masalah (untuk bina HSA 2),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan fasiliti kesihatan Johor di HSA, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan perbincangan dengan MINDEF berhubung tanah milik MINDEF di kawasan Skudai yang dicadangkan untuk pembinaan HSA 2.
Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Johor Ling Tian Soon.
Selain itu, Dr Zaliha berkata, pihaknya akan memperhalusi cadangan membenarkan susu formula untuk pesakit kanser dibeli di hospital dengan harga lebih murah berbanding di pasaran.
“Kita kena tengok dahulu maklumat lanjut tentang susu apa, sesuai atau tidak sesuai untuk pesakit kanser dan sebagainya dan kalau perlu dan kalau ada kepentingan kepada pesakit kita akan perhalusi,” katanya.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan, berkata akan berbincang dengan Menteri Kesihatan supaya pesakit dibenarkan membeli susu formula untuk pesakit kanser di hospital dengan harga lebih rendah.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran di Facebook merakamkan ucapan terima kasih kepada KKM dan Dr Zaliha kerana mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri mengenai isu-isu kesihatan di Johor.
“Kerajaan negeri turut mengucapkan tahniah dan terima kasih KKM di atas penyerahan Klinik Kesihatan (Jenis 5) dengan kuarters Palong Timur; pembinaan bangunan baharu Makmal Patologi HSA dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) dengan kuarters Taman Ungku Tun Aminah yang telah pun siap dan akan beroperasi tidak lama lagi, melibatkan perbelanjaan sebanyak RM73.5 juta,” katanya. – BERNAMA