Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia antara penambahbaikan dilakukan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi syarat KPI dan temu duga Perkahwinan Islam di negeri itu.
“Ia adalah keputusan mesyuarat yang bersidang pada 17 Mac dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 19 Mei yang bersetuju mengenai penambahbaikan syarat tersebut.
“Selain itu, tempoh sah laku sijil KPI adalah 10 tahun atau untuk sekali perkahwinan sahaja atau mana yang terdahulu, bagi kursus yang dihadiri bermula pada 1 Jun 2023 dan selepasnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Rahmad berkata, pihak-pihak yang dikecualikan daripada menghadiri KPI iaitu individu pernah berkahwin, individu berumur 45 tahun ke atas dan belum pernah berkahwin, warganegara Malaysia yang menetap dan menjalankan akad nikah di luar negara.
Katanya, selain itu turut dikecualikan ialah warganegara asing, orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu serta lain-lain kategori atas budi bicara Ketua Pendaftar, Pendaftar Kanan atau Pendaftar.
“Bagaimanapun individu ini digalakkan juga mengikuti kursus bagi melengkapkan keilmuan institusi kekeluargaan di Melaka.
“Bagi individu yang pernah berkahwin, individu berumur 45 tahun ke atas dan belum pernah berkahwin serta OKU pekak dan bisu, mereka diwajibkan untuk menghadiri Temu Duga Perkahwinan,” katanya. – BERNAMA