KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya keputusan pihak berkuasa Sweden yang membenarkan tindakan provokatif membakar kitab suci al-Quran pada 28 Jun, 2023 di Stockholm.
Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam hantarannya dalam jalur Tweeter pada Khamis berkata, keputusan mahkamah Sweden bukan satu langkah progresif dalam usaha untuk meningkatkan perasaan saling memahami dan menghormati untuk kebaikan manusia.
“Perbuatan yang mencemari kesucian al-Quran ketika umat Islam di seluruh dunia sedang menyambut Aidiladha merupakan satu tindakan yang menyinggung perasaan Muslim di seluruh dunia dan mencabuli prinsip sejagat iaitu saling memahami dan menghormati kesemua agama dan kitab suci mereka,” katanya. – BERNAMA