IPOH: Hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Naufal Adzimi Mohd Hariss, 17, yang hilang di Kampung Tanjong Sejarah, Kampung Tawai di Gerik sejak semalam, masih gagal menemui remaja itu dan akan diteruskan esok.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pencarian pada radius tiga kilometer, dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) bersama Pasukan Multi Skill (MUST) bomba dari lokasi terakhir motosikal mangsa ditemukan, namun setakat ini belum menemui sebarang petunjuk.
“Operasi bagaimanapun telah ditangguhkan hari ini sekitar jam 6 petang dan akan disambung esok pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata, operasi yang disambung hari ini, dimulakan 10 pagi tadi telah dibahagikan kepada enam kumpulan mengikut laluan yang telah ditetapkan, melibatkan 82 orang daripada agensi kerajaan melibatkan 25 anggota polis, bomba (12), Unit K9 (3), Majlis Daerah Gerik (5), Pejabat Daerah (2) dan 35 orang awam.
Pada Khamis, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik menerima laporan berhubung kejadian seorang remaja lelaki hilang pada 1.33 pagi dengan lokasi terakhir mangsa dilihat di sekitar Kampung Ulu Kenderong, Jalan Air Bertam pada jam 9.00 pagi.
Pelajar sebuah sekolah tahfiz itu dikatakan mengalami gangguan emosi, bagaimanapun tidak pulang ke rumah sehingga petang, sebelum pencarian digerakkan keluarga dan rakan mangsa.
Bagaimanapun, usaha mereka hanya berhasil menemukan motosikal yang ditinggalkan mangsa dalam kawasan kebun getah sekitar pukul 6 petang. – BERNAMA