ROMPIN: Langkah kerajaan melaksanakan projek ternakan ayam berskala besar di Kampung Tanjung Seratus, Kuala Rompin dengan peruntukan sebanyak RM60 juta, dilihat bukan sahaja dapat menjana ekonomi penduduk, tetapi turut membantu keterjaminan bekalan makanan negara.
Ketua Peserta Kawasan Felcra Anak Endau, Sulaiman Mustapha, 75, menyifatkannya sebagai ‘projek serampang dua mata’ kerana selain memberi manfaat terhadap masyarakat setempat khususnya memberi peluang pekerjaan untuk golongan muda, ia juga mampu melonjakkan pembangunan daerah Rompin.
“Langkah kerajaan melaksanakan projek berskala besar di sini memang ditunggu-tunggu kerana ia menunjukkan walaupun kedudukan Rompin jauh dari bandar besar, namun kerajaan tidak melupakan projek ekonomi bagi membantu penduduk.
“Kebanyakan penduduk di sini bekerja sebagai peladang, pesawah dan nelayan dan tidak mustahil selepas ini, ada yang dapat mencebur diri dalam bidang ternakan ayam pula,” katanya semasa ditemui Bernama baru-baru ini.
Sulaiman berkata, projek ternakan mega itu juga secara tidak langsung membantu rakyat negara ini mendapatkan ayam pada harga lebih murah, selain mengurangkan import ayam.
Seorang pemuda Orang Asli, Pallmallsa Saleh, 27, turut senada dengan Sulaiman yang melihat inisiatif kerajaan menerusi projek itu membuka peluang kepada golongan muda sepertinya untuk melibatkan diri dalam bidang ternakan.
“Saya bekerja di sebuah ladang sawit di sini, selepas ini mungkin saya dan rakan-rakan akan cuba kerja di ladang ini pula nanti untuk menambah pendapatan selain belajar cara-cara menternak kerana sebelum ini kami hanya menternak ayam untuk kegunaan sendiri.
“Ini juga kesempatan untuk kami lebih bercampur dengan masyarakat lain selain Orang Asli sendiri yang secara tidak langsung membantu kami meningkatkan keyakinan diri,” katanya yang menetap di Kampung Belangkap, di sini.
Bagi penduduk Kampung Bahagia, di sini, Rohayu Ab Razak, 49, pula berkata projek tersebut juga membuka peluang kepada kaum wanita untuk berniaga makanan secara kecil-kecilan di kawasan berhampiran projek itu.
Menurut ibu kepada sembilan anak itu, peluang berkenaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak tempatan untuk mencari pendapatan tanpa perlu berhijrah ke bandar-bandar besar mahupun keluar ke daerah lain.
“Saya juga sudah berbisik kepada anak lelaki saya yang mempunyai diploma dalam bidang peladangan supaya bekerja di sini, kerana sambil-sambil mencari duit, dia dapat menimba ilmu ternakan secara praktikal.
“Untuk saya sendiri, ia juga membuka cabang rezeki lain seperti berniaga seperti makanan yang sedikit sebanyak menambah pendapatan keluarga… jika hasilnya baik, boleh juga menyimpan untuk kegunaan masa depan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar FELCRA Food Industries Sdn Bhd (FFISB) Dr Mohamad Shafie M Lojong berkata projek dilancarkan Ogos tahun lepas melibatkan pembinaan 10 reban di kawasan seluas 20.6 hektar (51 ekar) itu dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun depan.
Pembinaan reban pertama menurutnya sudah mencapai 31 peratus dan dijangka beroperasi pada bulan depan dengan kemasukan ayam siri pertama sebanyak 30,000 ekor.
Katanya, apabila siap sepenuhnya, projek itu dapat melaksanakan lima pusingan ayam setahun iaitu sebanyak 300,000 ekor ayam bagi satu pusingan atau 1.5 juta ekor setahun.
Selain reban ayam, projek tersebut juga dilengkapi pejabat pentadbiran, rumah staf dan surau.
Projek ternakan berskala besar di Rompin merupakan antara empat projek mega ternakan ayam pedaging secara tertutup yang dilaksanakan oleh Felcra Berhad di kawasan luar bandar, selain di Sungai Damak, Lipis di Pahang; Padang Terap, Kedah dan Paloh 4 Gua Musang, Kelantan. – BERNAMA