KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan tidak bercadang untuk memberikan rebat pelepasan cukai kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kategori B40 dan M40 bagi pembelian kenderaan bermotor buat masa ini.
“Cadangan tersebut perlu diperhalusi dan dikaji secara menyeluruh,” kata Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata, kerajaan telah menyediakan pengecualian sepenuhnya ke atas duti eksais kenderaan untuk semua individu OKU dan cacat fizikal yang berkeupayaan memandu dengan syarat-syarat seperti pemohon berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), memiliki lesen memandu sah, kenderaan tidak boleh dijual atau ditukar milik sehingga lima tahun, pengecualian dengan kebenaran MoF dan pengecualian dibenarkan untuk sebuah kenderaan setiap lima tahun.
Beliau berkata demikian untuk menjawab soalan Senator Isaiah Jacob mengenai cadangan kerajaan untuk memberikan rebat pelepasan cukai bagi pembelian kenderaan bermotor di bawah harga RM45,000 untuk golongan sasaran OKU berkategori B40 dan M40.
Menurut Steven Sim, layanan cukai sedia ada dilihat memadai bagi meringankan beban golongan OKU bagi kategori B40 dan M40.
“Bagaimanapun, kerajaan akan sentiasa mengkaji dan menambah baik dasar percukaian sedia ada dari semasa ke semasa seiring dengan persekitaran ekonomi,” katanya. – BERNAMA