HomeGaya HidupMPA lancar Bulan Pemerhatian Tumbesaran, kekang masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak di...

MPA lancar Bulan Pemerhatian Tumbesaran, kekang masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia

 

PETALING JAYA: Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) melancarkan Bulan Pemerhatian Tumbesaran khusus untuk mengenal pasti kanak-kanak dan remaja yang terbantut, baru-baru ini.

Kempen tahunan itu diperkenalkan di seluruh negara oleh MPA di bawah program IMFeD For Growth yang telah bermula sejak tahun 2012.

Pelancaran itu turut membabitkan rakan kongsinya iaitu Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Pakar-pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA), Persatuan Tadika Malaysia (PTM) dan Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM).

Pengerusi program IMFeD For Growth, Profesor Dr Lee Way Seah berkata, pelancaran bulan tersebut adalah sebahagian inisiatif untuk mengekang isu bantut dalam kalangan anak-anak melalui pendekatan Measure, Identify, Manage (MIM).

Katanya, meskipun kebanyakan kanak-kanak dan remaja Malaysia membesar secara normal namun, masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak tetap menjadi kebimbangan.

“Kita perlu mengatasi masalah pembantutan ini dari awal. Masalah ini sentiasa bermula dengan pertumbuhan yang terbantut, apabila kanak-kanak tidak menerima pemakanan yang mencukupi sehingga memperlahankan kadar pertumbuhan mereka.

“Measure (M) merujuk kepada ‘mengukur’ yang melibatkan pengukuran berat dan ketinggian kanak-kanak yang mengikut carta pertumbuhan World Health Organization (WHO) untuk pastikan sama ada tumbesaran kanak dalam justifikasi normal, berisiko atau terbantut,” 

“Seterusnya,  Identify (I), kita perlu mengidentifikasi punca yang mendasarinya. Faktor biasa yang sebabkan tumbesaran terbantut ialah kurang zat makanan, tabiat gaya hidup yang tak sihat, kemahiran keibubapaan yang lemah atau gabungan beberapa faktor tersebut.

“Akhir sekali, pengamal- pengamal kesihatan akan bersedia untuk Manage (M) mengurus keadaan tersebut. Intervensi yang mungkin dilakukan termasuk penjagaan pemakanan yang mencukupi dan bersesuaian, peningkatan kemahiran keibubapaan dan pengamalan tabiat gaya hidup sihat,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran tersebut di Petaling Jaya, Selangor.

Susulan itu, beliau menggalak ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka yang berusia antara 1 hingga 17 tahun untuk mendapatkan pemeriksaan tumbesaran menerusi pendekatan MIM daripada pengamal kesihatan yang terlatih.

Untuk rekod, pakar IMFeD For Growth terdiri daripada Dr Yong Junina Fadzil, Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Kardiologi Pediatrik; Prof Dr Firdaus Mukhtar, Pakar Psikologi Klinikal; dan Cik Rozanna M Rosly, Pakar Pemakanan Klinikal.

 

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor