ALOR SETAR: Seorang lelaki yang juga pempengaruh media sosial dan dipromosikan sebagai ‘Ikon Permotoran’ antara 284 individu ditahan dalam Op Samseng Jalanan pada malam Aidiladha di Jalan Pegawai, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pempengaruh berusia 23 tahun itu bersama individu lain ditahan dalam operasi yang bermula 11 malam hingga 3 pagi tadi.
“Pempengaruh yang menjadi idola dalam kalangan geng permotoran itu antara penonton yang ditahan. Kesemua 284 individu itu terdiri daripada 281 lelaki dan tiga wanita berusia antara 15 hingga 20-an dengan 10 daripadanya merupakan remaja bawah umur.
“Sebanyak 50 motosikal turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, bagaimanapun tiada tangkapan dibuat,” katanya pada sidang media di Balai Polis Trafik Kota Setar hari ini.
Ahmad Shukri berkata, sebanyak 194 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan antaranya tiada lesen memandu, mengubah suai motosikal, tiada cermin sisi, tiada insurans serta cukai jalan dan lesen tamat tempoh.
“Mereka akan dilepaskan selepas proses dokumentasi selesai dan bagi remaja bawah umur yang tidak mempunyai lesen, waris akan dipanggil dan saman akan dikeluarkan kepada pemilik motosikal.
“Pada pagi raya korban ini, mereka telah ‘mengorbankan’ diri sendiri… sayang kerana golongan muda inilah yang bakal menjadi aset negara pada masa hadapan, jadi saya harap mereka tidak akan mengulangi kesalahan yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh turut hadir ke balai berkenaan dan memberikan nasihat kepada semua yang ditahan. – BERNAMA