HomeBeritaPandu 'Grab', bas demi biaya rumah kebajikan warga emas

Pandu ‘Grab’, bas demi biaya rumah kebajikan warga emas

SEMENYIH: Seorang pemuda terpaksa melaksanakan pelbagai kerja bagi melunaskan hutang sewa beli Rumah Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah yang berpusat di Taman Tasik Semenyih.

Mohammad Azlan Abdul Rahman, 30, berkata, pusat jagaan berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kira-kira 20 penghuni warga emas itu beroperasi di sebuah kediaman dua tingkat sejak 2018.

Bagaimanapun, pemilik rumah berkenaan terpaksa menjualnya kerana memerlukan wang, selepas berdepan isu kewangan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP).

Azlan yang bekerja sebagai pemandu bas persiaran terpaksa melakukan lebih dua kerja seorang diri seperti menjadi penghantar makanan dan penumpang serta menjual ikan di pasar bagi menampung keseluruhan kos premis berjumlah RM18,000 termasuk perbelanjaan operasi, makan minum dan sewa rumah.

Tidak cukup dengan itu, anak tunggal kepada Abdul Rahman Abdullah, 55, dan Aishah Ibrahim, 56, terpaksa menjual aset peribadi termasuk sebuah kereta jenis Mercedes lama selain menggadai barangan kemas isterinya, Aminah Abdullah, 31, dan menggunakan wang simpanan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Dua hari sebelum PKP, duit dalam beg dompet saya hanya berbaki RM150 sahaja, saya sudah gunakan termasuk wang simpanan beli keperluan pusat kebajikan, langsai sewa, bil, gaji.

“Saya terduduk seketika, kerana memikirkan cara mencari dana dan saya tebalkan muka minta bantuan pelbagai pihak termasuk wakil penduduk

“Warga emas ini tidak dipedulikan anak atau ahli keluarga,” katanya.

Pemuda ini yang memiliki kejuruteraan perkomputeran mula menguruskan pusat berkenaan setelah bertemu seorang gelandangan warga emas wanita yang kelaparan meminta makanan ketika berehat di sebuah hentian rehat dan rawat (R&R) utara dia sedang membawa bas pelancong ke Thailand.

Mengenangkan nasib wanita tersebut, dia menyatakan hasratnya kepada ibunya untuk membuka pusat jagaan orang tua, kira-kira lima tahun lalu.

Pusat jagaan itu kini mempunyai empat kakitangan termasuk ibunya yang sudi menjaga mereka bersama.

“Saya sendiri pun tak sangka sangka boleh buka pusat jagaan ini. Saya hanya berserah pada petunjuk Allah SWT sahaja.

Katanya, dia sedang membuat permohonan geran kepada pihak JKM selain proses berdaftar dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Author

Pilihan Editor