IPOH: Polis menahan seorang pemandu lori kontena bagi membantu siasatan merempuh pagar dan pos pengawal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, lelaki berusia 31 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Tapah pagi ini bagi permohonan reman.
Beliau berkata, hasil saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif terhadap dadah selain tidak memiliki sebarang rekod saman lampau.
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tapah telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu dan berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Azharuddin, dalam kejadian kira-kira 1.25 pagi itu, pemandu lori kontena berkenaan yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Ipoh dengan membawa muatan kerusi meja, dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar pagar utama dan pos pengawal IPD Tapah.
Beliau berkata akibat kemalangan itu, seorang anggota polis yang sedang bertugas di pos pengawal itu mengalami patah satu gigi hadapan, luka pada bahagian mulut dan cedera tangan kiri.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menunggang atau memandu secara berbahaya sehingga mengundang padah kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Penguasa Kanan Bomba I Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataan berkata, seorang anggota polis yang bertugas di pondok kawalan IPD Tapah cedera ringan selepas pagar dan pondok kawalan berkenaan dilanggar sebuah lori kontena. – BERNAMA