PADANG BESAR: Penduduk Wang Kelian menggesa kerajaan Perlis segera membuka operasi Arked Niaga Wang Kelian sebagai usaha menghidupkan semula kegiatan ekonomi di pekan sempadan itu yang lesu sejak pemansuhan Zon Aliran Bebas pada 2015.
Seorang daripada penduduk, Zul Zalina Othman, 40, berharap kerajaan negeri dapat menyegerakan proses membuka arked niaga tersebut memandangkan ia telah lama siap dibina.
“Sebelum ini kami diberitahu bahawa ia (Arked Niaga Wang Kelian) akan dibuka pada Mei lepas, namun setakat ini belum ada pihak yang tampil memberitahu tarikh sebenar arked tersebut akan dibuka,” katanya yang juga bekas peniaga tapak pasar sehari Wang Kelian kepada Bernama baru-baru ini.
Zul Zalina berharap pembukaan arked niaga itu nanti akan menceriakan kembali Wang Kelian dan paling penting dapat memberi pendapatan tambahan kepada penduduk yang sebilangan besar terdiri daripada petani.
Beliau juga berharap pengendali arked tidak memberi syarat yang ketat kepada peniaga dan membenarkan mereka menjual produk dari negara jiran.
Md Razak Md Daud, 64, pula berkata, beliau percaya pembukaan Arked Niaga Wang Kelian mampu merancakkan semula ekonomi penduduk setempat memandangkan ramai pelancong tempatan dan luar negara menggunakan pintu sempadan Wang Kelian untuk melancong ke Selatan Thailand.
“Jika dilihat pada hujung minggu, banyak kenderaan melalui Wang Kelian, namun mereka hanya sekadar melintas kerana tiada sebarang kemudahan yang dapat menarik pelancong ke sini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhutanan Perlis Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata, pihaknya telah diberi tanggungjawab dalam menguruskan Arked Niaga Wang Kelian.
“Kalau boleh kita memang nak buka segera Arked Niaga Wang Kelian, namun kita menghadapi kekangan dari segi jumlah peniaga yang berminat untuk berniaga di sana.
“Jabatan telah mengiklankan tawaran berniaga kepada penduduk setempat. Pada awalnya menerima sambutan yang menggalakkan, namun daripada 32 surat perniagaan yang dikeluarkan, hanya lapan peniaga memberi jawapan,” katanya.
Beliau berharap kekosongan berkenaan dapat diisi oleh anak Perlis supaya arked niaga itu dapat dibuka segera.
Menurut Ag Shaffie beliau difahamkan peniaga mahukan konsep jualan produk Thailand seperti di Padang Besar dilaksanakan di Wang Kelian.
“Di Wang Kelian kita tetapkan peniaga hanya menjual produk tempatan kerana ingin mengelak berlaku dominasi peniaga luar pada masa akan datang yang hanya merugikan rakyat Perlis. Selain itu, Perlis juga mempunyai banyak produk menarik yang berpotensi untuk dikembangkan,” katanya. – BERNAMA