GUA MUSANG: Susulan pembukaan semula jalan utama yang menghubungkan Kuala Lipis, Pahang ke Gua Musang, rata-rata pengguna melahirkan rasa syukur kerana tidak perlu lagi menggunakan laluan alternatif untuk pulang menyambut perayaan Aidiladha, Khamis ini.
Pengguna, Nurul Azmahanee Azaman, 34, berkata, sebelum ini beliau pernah tersalah jalan ketika menggunakan laluan alternatif ketika pulang beraya pada Aidilfitri lalu dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan terpaksa berpatah balik semula menuju ke laluan yang ditetapkan sehingga mengalami kelewatan hampir 30 minit.
“Saya pernah sesat menggunakan laluan alternatif ketika pulang beraya baru-baru ini sehingga ke Pasar Borong, Gua Musang.
“Apabila jalan utama kembali dibuka ia bukan sahaja dapat menjimatkan masa, malah aliran trafik akan bertambah baik terutama pada musim perayaan nanti,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.
Sementara itu, Umi Salamah Ab Rahman, 38, dari Bandar Lama, di sini, berkata, setiap hari beliau akan melalui laluan alternatif ini kerana bekerja di Kuala Lipis dan telah mengubah rutin hariannya sejak lebih dua bulan lalu.
“Saya ingin ucap terima kasih kepada kerajaan kerana berjaya membuka semula jalan utama ini sebelum musim perayaan Aidiladha yang mana pada waktu itu mesti ramai anak perantau pulang untuk beraya,” katanya.
Pada 25 Jun lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan jalan utama yang menghubungkan Kuala Lipis ke Gua Musang yang sebelum ini ditutup sejak 3 April lalu bagi kerja-kerja pemasangan cerucuk untuk projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C kembali dibuka semula untuk kegunaan orang ramai.
Beliau berkata, laluan berkenaan telah dibuka semula kepada kenderaan ringan selepas kerja-kerja pemasangan cerucuk itu siap Khamis lalu dan pembukaan ini akan memberi kemudahan kepada penduduk tempatan dan pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur. – BERNAMA