KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya pemberian subsidi serta kawalan harga ayam dan telur, yang sepatutnya berakhir 30 Jun ini, diteruskan selepas 1 Julai ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan bahawa perkara itu diputuskan setelah mengambil kira semua aspek termasuk memastikan industri ayam dan telur kekal mampan.
“Keputusan meneruskan pemberian subsidi ini (juga) diambil demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara selaras aspirasi Kerajaan Malaysia MADANI,” menurut kedua-dua kementerian itu.
Sebelum ini, mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu membuat keputusan meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur bermula 1 Januari hingga 30 Jun ini. – BERNAMA