SIAPA sangka, hobi yang pada mulanya hanya sekadar suka-suka itu boleh berubah menjadi sumber pendapatan lumayan.
Itulah yang dialami oleh seorang bekas jurugambar di ibu kota yang kini bergelar pekebun tanaman anggur di Po-Land Grape Machang (PGM), Kelantan.
Menurut Nur Taufiq Yusuf, 33, minatnya untuk menanam anggur itu bermula ketika negara dilanda COVID-19 di mana pada ketika itu, dia tidak mempunyai sumber pendapatan yang stabil.
“Saya belajar menanam anggur ini awal-awal daripada kawan-kawan.
“Pada awalnya, saya tanam sebab suka-suka, selepas pada enam bulan itu, dia (pokok anggur) mengeluarkan hasil.
“Bila keluar hasil itu, sambutan orang ramai. Sampai satu hari boleh mencecah pengunjung hampir 500 ke 600 orang lagi-lagi waktu musim berbuah,” katanya kepada MEDIA VARIASI dalam kunjungan Xpresi Media anjuran Tourism Malaysia di Po-Land Machang Grape, baru-baru ini.
PGM merupakan kebun anggur pertama di Kelantan milik keluarga Taufiq yang kini semakin komersial sehingga mendapat perhatian orang ramai untuk berkunjung melihat tanaman anggur serta merasai sendiri pengalaman memetik buah anggur yang segar.
Meskipun tiada penjualan buah anggur di PGM, pengunjung masih boleh membeli benih, keratan dan anak pokok anggur di kebun berkenaan.
Mengimbau kembali kisah menceburi dunia perkebunan, Taufiq menyatakan pada mulanya dia hanya menanam tujuh anak pokok dengan modal RM1,500.
“Pada awalnya, saya bermula dengan hanya tujuh pokok sahaja, selepas enam bulan, ketujuh-tujuh pokok itu berbuah.
“Selepas itu, baru kita cari inisiatif lain, cari benih, jumpa dengan kawan-kawan (khidmat nasihat), ada juga dapatkan benih direct daripada Ukraine sampai sini (Malaysia) dengan keratan batang, so kita cuba tanam dan Alhamdulillah, semua hidup.
“Sekarang ini kawasan ini (kebun anggur) lebih kurang dalam 10 ekar, dalam kawasan 10 ekar ini boleh muatkan lebih kurang 120 pokok anggur,” ujarnya.
Maklum Taufiq, kebanyakan benih yang ditanam di kebunnya itu terdiri daripada negara Ukraine, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).
Jelasnya, sehingga kini terdapat lebih 50 jenis variasi anggur yang ditanam di kebunnya itu antaranya Jupiter, Black Ozark, Alfonso Lavalle, Dickson, Faith dan Vales.
“Setiap jenis mempunyai rasa yang berbeza, warna anggur macam-macam ada hitam, merah, hijau, kuning, bentuk pun bulat, lonjong, besar dan kecil macam-macamlah.
“Sekarang ini kita ada lebih 50 variety anggur, 30 variety sudah berbuah tinggal lagi 20 kita tengah mengkaji untuk dapatkan hasil.
“Biasanya anggur akan masak dalam masa tiga bulan, 60 hari atau ada juga yang ambil masa dalam 75 hari sehingga 120 hari tengok pada jenis variety,” katanya.
Dalam pada itu, Taufiq turut menjelaskan bahawa anggur adalah sejenis tanaman yang memerlukan cahaya matahari dan perlu dikawal penerimaan kuantiti air.
“Ramai yang anggap anggur berbuah di tempat yang sejuk, ramai yang datang tak sangka yang anggur boleh berbuah di tempat panas tapi sebenarnya anggur memang memerlukan cuaca yang panas untuk berbuah. Kita sebenarnya dah salah anggap.
“Contoh di negara luar, anggur hanya berbuah dalam tempoh empat bulan iaitu waktu musim panas jadinya waktu itu sahaja berbeza dengan di negara kita yang sentiasa panas jadi anggur boleh berbuah sepanjang tahun.
“Untuk tanaman anggur, kita memerlukan rumah hujan sebab anggur alah kepada air hujan, dia tak nak air hujan direct. Tapi anggur memerlukan cahaya matahari terus.
“Satu lagi, apabila musim hujan time tu kita kena struggle sikit jaga tanaman sebab masa musim hujan buah susah nak dapat sebab kena serangan serangga so buah jadi macam berkarat, bunga pun jarang-jarang lekat.
“Air tak mempengaruhi buah cuma kalau air terlebih, dia akan rosakkan bunga (sebelum berbuah) jadi tak lekat buah, so kena jaga kuantiti air supaya buah berkualiti,” maklumnya.
Alamat: Po-land Grape Machang
Kampung Batu 31
18500 Machang, Kelantan