JITRA: Polis menahan dua lelaki tempatan pada 18 Jun lepas yang dipercayai aktif mencuri duit tabung masjid di sekitar Kubang Pasu dengan seorang suspek menyamar sebagai jemaah wanita.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, DSP Chien Chunng Tsaur berkata lelaki berusia 29 dan 37 tahun itu ditahan di lokasi berlainan susulan laporan polis oleh Pengerusi Masjid Al-Hidayah, Taman Pasu di sini.
“Bertindak atas laporan itu, polis melancarkan operasi sebelum menahan suspek utama yang menyamar jemaah wanita, berusia 29 tahun, di sebuah rumah di Taman Sri Aman (di Jitra) pada pukul 12 tengah hari serta merampas pelbagai barangan kes, motosikal dan peralatan.
“Hasil soal siasat yang dijalankan, polis menahan seorang lagi suspek berusia 37 tahun yang berperanan sebagai ‘transporter’ (pengangkut) di Jalan Ibrahim di sini, serta merampas motosikal yang disyaki digunakan dalam setiap kejadian,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Chien berkata modus operandi mereka adalah lelaki berusia 29 tahun itu menyamar sebagai jemaah wanita sebelum memecahkan tabung masjid manakala seorang lagi menunggu di luar.
“Suspek sanggup menipu jemaah dengan memakai kain telekung dan berulang alik ke masjid untuk melakukan jenayah itu, namun dalam kes ini (Masjid Al-Hidayah) mereka gagal memecahkan peti besi itu kerana tebal dan berat,” katanya.
Beliau berkata, dengan tangkapan itu polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes pecah masjid manakala masing-masing satu kes pecah kilang dan pecah rumah sekitar daerah Kubang Pasu.
Chien berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 dan 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua mereka ditahan reman hingga Rabu ini.
Katanya kedua-dua mereka positif dadah methamphetamine dan lelaki berusia 37 tahun itu memiliki 15 rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah. – BERNAMA