KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah setelah merampas pelbagai jenis dadah dan menyita aset yang mencecah RM4.78 juta dalam empat serbuan di sekitar Lembah Klang, Selasa lepas.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin berkata dalam serbuan itu, empat lelaki warga tempatan berusia 37 hingga 58 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah bagi pasaran tempatan.
Beliau berkata, polis turut merampas dadah jenis syabu, methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), pil ekstasi, ketamin dan Eramin 5 yang bernilai RM4.06 juta dan dipercayai boleh digunakan seramai 384,791 penagih serta sepucuk pistol jenis Sig Sauer dan 180 butir peluru.
“Polis turut menyita lima buah kenderaan, barang kemas, jam tangan dan wang tunai milik sindiket yang dianggarkan bernilai RM721,800.
“Dadah yang dirampas ini diperoleh dari negeri di utara dan dihantar ke Kuala Lumpur sebelum diedarkan di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Noorsiah berkata, sindiket dipercayai mula aktif sejak Mac 2022 dengan modus operandi menggunakan jalan darat sebagai laluan penyeludupan dan menjadikan premis kediaman sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan.
Beliau berkata, kesemua suspek direman tujuh hari mulai semalam dan semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah selain saringan awal mendapati kesemua negatif dadah.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjatapi 1960.
“PDRM menasihati masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di talian 012-2087222,” katanya. – BERNAMA