HomeBeritaPremis kotor, niaga tanpa lesen jadi punca kena kompaun - MPS

Premis kotor, niaga tanpa lesen jadi punca kena kompaun – MPS

SHAH ALAM: Empat restoran yang beroperasi di Kampung Bendahara dan Jalan Sungai Tua, dikesan melanggar pelbagai kesalahan undang-undang.

Susulan itu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenakan kompaun RM500 terhadap kesemua pemilik restoran.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi MPS, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut menegaskan aspek kebersihan dan pematuhan oleh pemilik-pemilik restoran di Selayang telah dilakukan pada 20 Jun lalu.

Perkara itu dilaksanakan menerusi operasi ‘Pemeriksaan Pematuhan Premis Makanan dan Tandas Awam’ bagi memastikan aspek kebersihan dan pematuhan diikuti pengusaha-pengusaha restoran di sekitar kawasan terbabit.

“Pemilik restoran yang dikenakan kompaun kerana kesalahan seperti tidak memakai topi apron, tiada suntikan tifoid, tiada lesen perniagaan dan kesalahan pelepasan effluen,” maklumnya.

Malah, MPS turut memaklumkan bahawa pemotongan cagaran kebersihan telah dikenakan kepada dua buah restoran mengikut Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan MPS 2007 dan Undang-Undang Kecil Establishment Makanan MPS 2007.

“Teguran dan pendidikan kesihatan juga turut diberikan kepada semua pengusaha restoran bagi memastikan tiada kesalahan yang sama berulang di masa akan datang,” demikian kata agensi tersebut.

Author

Pilihan Editor